‘KAMI IKHLAS, TAPI KAMI TAK BODOH’ - SANUSI

 

PESANAN KEPADA UMNO 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - “Kami ikhlas, tapi kami tak bodoh.”

Itu pesanan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kepada UMNO agar sebarang kerjasama antara kedua-dua parti dilakukan secara ikhlas dan tanpa agenda tersembunyi.

Beliau berkata, PAS bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak, namun tidak mahu keikhlasan tersebut dipergunakan untuk kepentingan parti lain.

“Kita pun nak ingatkan kepada rakan-rakan kita, nak pakat dengan kita, kami pun pandailah. Betul, kami ikhlas, tapi kami tak bodoh.

“Jangan pergunakan saya untuk kepentingan parti anda, tetapi kita sama-sama ikhlas untuk jalin kerjasama tanpa ada agenda tersembunyi,” katanya.

Menurut Sanusi, parti yang mahu bekerjasama dengan PAS perlu bersedia melakukan pengorbanan dan tidak hanya mengharapkan balasan atau kepentingan tertentu.

“Negara ini perlu orang-orang ikhlas. Yang sedia memberi.

“Rakan-rakan kita, khususnya UMNO, berkorbanlah macam orang PAS berkorban. Jangan cari kepentingan diri,” katanya.

Beliau turut berharap agar rakan-rakan politiknya dalam UMNO mempelajari budaya kerja dan pengorbanan yang diamalkan PAS.

“Buat macam orang PAS bekerja. Memberilah, jangan mengharap balasan. Itu cara orang PAS. Rakan-rakan kita dalam UMNO yang telah terbiasa dengan kemewahan sebelum ini, ketika lama jadi kerajaan, mari belajar dengan PAS.

“Kutip derma, jangan asyik nak minta. Jangan asyik nak projek. Berkorban, bukan mengharap balasan, bukan mencari peluang untuk kembali semula macam dulu,” katanya.

Sebelum ini Sanusi menegaskan, PAS tidak akan memberikan kerusi yang dimenanginya kepada UMNO di negeri lain sekiranya parti itu tidak bersedia memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di Melaka.

Beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti sedang berjalan, namun masih dalam keadaan yang disifatkannya sebagai ‘ding dong, ding dong’.

Sementara itu, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Khamis memaklumkan, rundingan kerjasama antara BN dengan parti politik lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, rundingan itu akan bermula sebaik sahaja menerima lampu hijau daripada pimpinan tertinggi UMNO dan BN, dengan 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN Melaka lalu menjadi asas rundingan.

Dalam pada itu, ketika mengulas senario politik semasa, Sanusi berkata, semua pihak wajar menjadikan sejarah lalu sebagai pengajaran dalam memastikan negara dapat ditadbir dengan lebih baik demi generasi akan datang.

“Sejarah mengajar kita begitu banyak, ambil pengajaran lalu untuk kita susun perjalanan masa depan dalam menyediakan tanah air yang selamat dan selesa untuk generasi akan datang.

“Ini politik hari ini. Bukan politik dendam. Bila berkuasa nak balas dendam kepada orang tertentu, nak penjarakan orang ini, nak marah orang itu, nak tunjuk terror semua. Sudah ramai musuh-musuh politik dikenakan tindakan.

“Bila pegang kuasa, rakan-rakan yang diketahui menyakau, tak kena tindakan. Berapa banyak yang didedahkan Rafizi Ramli. Selamat kalau pakat dengan dia. 

“Zaman sudah berubah, mereka ini tunggu kita memerintah, kita ‘tabuh’ mereka pula. Tapi kita bukan dendam peribadi,” jelas beliau.

Sanusi tegaskan, PN akan berusaha mentadbir negara ini dengan telus agar semua kekayaan diagih secara saksama kepada rakyat, bukan kepada individu tertentu yang rapat dengan pemimpin negara.

Post a Comment

0 Comments