“JANGAN MANSUHKAN DASAR LAMA HANYA KERANA ORANG LAIN YANG BUAT” - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Jangan mansuhkan atau merombak dasar lama yang baik hanya kerana ia diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, budaya menolak dasar sedia ada semata-mata kerana mahu menghasilkan sesuatu yang baharu hanya menyebabkan pembaziran sumber, tenaga dan masa, sedangkan kajian serta hasil akhirnya mungkin tidak banyak berbeza.

“Ada satu trend yang menyusahkan dalam politik. Dia suka ‘demolish’ dasar lama walaupun dasar itu baik macam mana sekalipun, hanya kerana orang lain yang buat.

“Tak mahu guna, nak buat lain. Itu pembaziran. Sanggup lantik konsultan lain, kajian lain, akhirnya keluar benda sama. Tukar warna saja. Asalkan ia dibuat oleh diri dia, bukan ditinggalkan oleh orang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Wanita Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.

Menurut Sanusi, budaya sedemikian tidak seharusnya berulang dalam mana-mana sektor pentadbiran mahupun politik kerana setiap dasar dan pelan strategi yang dirangka untuk kepentingan negeri memerlukan penggunaan sumber yang besar.

“Budaya seperti ini saya harap, tak usahlah diulang lagi. Saya cakap banyak kali dah tentang ini. Kita habis sumber, tenaga, masa banyak untuk buat satu-satu dokumen, dasar, pelan strategi untuk negeri.

“Bila tukar slogan, tukar pentadbiran, tukar habis semua. Saya rasa benda seperti itu tak boleh diulang lagi di mana-mana sektor, termasuklah politik.

“Gunakan apa yang ditinggalkan orang terdahulu, apa salahnya kalau ia baik. Kalau tak elok, okeylah hentikan,” katanya.

Sehubungan itu, Sanusi berkata, Dasar Wanita Kedah yang dilancarkan perlu terus dilaksanakan walaupun berlaku perubahan pentadbiran termasuk Menteri Besar atau barisan EXCO pada masa akan datang.

“Meskipun selepas ini Menteri Besar bertukar atau EXCO orang lain, segala usaha yang dirancang di bawah dasar ini perlulah diteruskan.

“Biarpun pentadbiran negeri berubah pada masa akan datang, oleh kerana sudah ada dokumen ini, maka gunakanlah,” katanya.

Tambah beliau, kewujudan dokumen berkenaan perlu dijadikan panduan supaya segala usaha yang dirancang tidak terhenti hanya disebabkan perubahan pentadbiran.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pendidikan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat dan komuniti supaya mengintegrasikan prinsip, matlamat serta strategi Dasar Wanita Kedah dalam perancangan dan pelaksanaan masing-masing.

Katanya, langkah itu penting bagi menjadikan Dasar Wanita Kedah sebagai instrumen strategik pembangunan negeri yang mengarusperdanakan penyertaan wanita dalam setiap dimensi pembangunan.

“Dasar ini akan menjadi kompas kepada usaha melahirkan wanita yang berdaya saing, berdaya tahan, berpengaruh dan berupaya memimpin perubahan, demi membina sebuah negeri Kedah yang hebat dan cemerlang,” katanya.

Sanusi memaklumkan, Dasar Wanita Kedah digubal hasil kerja keras selama hampir tiga tahun di bawah inisiatif Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan, Dato’ Hajjah Halimaton Shaadiah Saad.

“Dasar ini memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, pemerkasaan ekonomi secara inklusif dan mampan, jaminan sosial serta penglibatan langsung wanita dalam bidang kepimpinan.

“Ia turut menjadi dasar sokongan bagi memperkukuhkan gagasan ‘The Greater Kedah’ menerusi pemerkasaan wanita sebagai modal insan strategik dalam pembangunan negeri,” katanya.

Tambah beliau, dasar ini berpaksikan kepada  prinsip wanita bukan sekadar kumpulan sasaran pembangunan, malah merupakan rakan pembangunan yang menyumbang secara signifikan kepada  pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial, kepimpinan, tadbir urus, pembangunan komuniti serta kelestarian negeri.

“Ia antara usaha meningkatkan penyertaan, kapasiti dan kepimpinan wanita dalam pelbagai sektor, memperluas akses kepada peluang ekonomi, pendidikan, teknologi, kesihatan dan perlindungan sosial, serta mewujudkan ekosistem agar wanita menyumbang secara optimum kepada pembangunan negeri. 

“Potensi wanita di semua peringkat kehidupan dan sektor perlu diperkasakan, agar Dasar Wanita Kedah menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat  yang lebih inklusif, berdaya tahan dan sejahtera,” katanya.

Post a Comment

0 Comments