‘TERIMA KASIH DAP’ JADI JAMBATAN UNTUK PAS, UMNO KEMBALI BERTAUT - AHMAD

 

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA LUMPUR - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya menyifatkan pendirian DAP kebelakangaan ini secara tidak langsung menjadi antara faktor yang menyebabkan PAS dan UMNO kini mampu duduk bersama mengusahakan penyatuan ummah Melayu-Islam.

Malah, beliau secara berseloroh mengucapkan “terima kasih kepada DAP” kerana perkembangan yang berlaku itu membuka ruang kepada PAS dan UMNO untuk kembali duduk semeja.

“Terima kasih kepada DAP.

“Kerana jika DAP tidak mengambil sikap-sikap seperti sekarang, mungkin PAS dan UMNO tak boleh duduk seperti hari ini. Kerana tindakan-tindakan mereka (DAP) menyebabkan hari ini kita boleh duduk sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada Selasa.

Ahmad merupakan antara jemputan pada majlis berkenaan yang dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad, penyatuan Melayu-Islam kini perlu diberi keutamaan bagi memastikan kestabilan serta masa depan negara terus terpelihara, tanpa menafikan hak dan kepentingan kaum lain.

“Kita sedang berusaha ke arah melaksanakan apa yang paling utama untuk negara kita. Tidak ada pilihan melainkan dengan perpaduan kita.

“Keutamaan yang ada kepada kita sekarang ialah perpaduan Melayu-Islam tanpa mengenepi, menyingkir, menzalimi atau melakukan perkara tidak baik kepada mana-mana bangsa dalam negara ini,” katanya.

Beliau berkata, penyatuan Melayu-Islam merupakan asas penting untuk memelihara negara serta memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk semua.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menyifatkan, perkembangan hubungan antara Dewan Ulamak PAS dan Majlis Ulama UMNO kebelakangan ini juga menjadi isyarat bahawa usaha penyatuan tersebut bukan lagi sekadar wacana.

“Berkaitan usaha penyatuan ummah, apa yang sedang kita laksanakan iaitu kunjungan demi kunjungan, Majlis Ulama UMNO hadir ke Muktamar Dewan Ulamak PAS.

“Kemudian Dewan Ulamak PAS pula hadir ke Majlis Ulama UMNO. Ini sudah cukup memberi isyarat kita sedang bergerak, bukan lagi sekadar memahami apa itu Fiqh al-Aulawiyah (keutamaan),” katanya.

Ahmad berkata, perpecahan tidak boleh dibiarkan berterusan ketika kuasa politik orang Melayu dan Islam berdepan ancaman.

“Di saat kita merasakan kuasa politik Melayu dalam keadaan bahaya, kuasa politik Islam dalam keadaan terancam, adakah kita boleh berdiam diri, membiarkan terus perpecahan berlaku? Sudah tentu tidak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui perbezaan antara PAS dan UMNO dalam beberapa isu tidak seharusnya sehingga menggadaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada umat Islam.

“Saya bersetuju ada perkara yang kita boleh berbeza. Tapi apakah kita nak berbeza sampai ke peringkat menggadai amanah yang diletakkan Allah kepada kita?

“Jadi inilah perkara asas yang perlu dilihat, ancaman yang ada di depan, maka hari ini kita sedang menterjemah dan menafsirkan Fiqh al-Aulawiyah, iaitu usaha memastikan negara terus terpelihara termasuk mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam sebagai keutamaan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad menyifatkan perkembangan hubungan kedua-dua parti sebagai nikmat yang perlu dipelihara, khususnya selepas melalui tempoh permusuhan politik yang panjang.

“Sekali-sekala kita kenang semula keadaan ketika bermusuh. Masya-Allah, dahsyat. Namun Allah sedang melimpahkan nikmat-Nya. Allah tautkan hati-hati kita.

“Tautan hati inilah menyebabkan pemimpin UMNO hadir ke majlis PAS. Tautan hati ini juga menyebabkan pemimpin PAS hadir ke majlis UMNO. Mudah-mudahan tautan hati ini membolehkan kita bergerak lebih jauh.

“Ini isyarat penting yang menggambarkan Allah sedang mengurniakan kepada kita nikmat. Mudah-mudahan kita memelihara nikmat ini,” katanya.

Ahmad turut mengingatkan tanggungjawab besar pemimpin sedia ada untuk mewariskan negara ini dalam keadaan terbaik kepada generasi akan datang.

“Jika generasi lalu, keutamaan mereka ialah memerdekakan negara. Keutamaan kita pula ialah mewariskan negara yang terbaik untuk generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak melihat secara serius masa depan negara serta memastikan kesejahteraan yang dinikmati hari ini dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.

“Antara tujuan kita bersyukur ialah agar Allah tambahkan lagi nikmat dan agar Allah kekalkan nikmat yang diberikan. Dengan kekalnya nikmat, ertinya kesejahteraan untuk generasi akan datang.

“Mudah-mudahan pertemuan kita membuahkan hasil yang hebat. Kita sama-sama melaksanakan apa yang paling utama, iaitu penyatuan ummah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments