Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan alasan mengaitkan kos perhotelan yang mahal sebagai antara justifikasi memindahkan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) dari Langkawi sebagai tidak munasabah.
Beliau berkata, isu harga penginapan wajar diselesaikan menerusi perbincangan antara kerajaan dengan pengusaha hotel bagi mencari pendekatan sesuai, terutama ketika musim puncak seperti penganjuran LIMA.
“Saya rasa alasan itu tidak munasabah. Saya ada dengar antara alasan yang diberi oleh pengendali ini, mereka kata hotel mahal.
“Saya kata waktu cuti, industri hotel memang ada peak season dan low season. Harga lain-lain. Hotel seluruh dunia macam itu juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Bakti Siswa Perdana Negeri Kedah Ke-3 dan Kedah Siswa Care, hari ini.
Menurut Sanusi, pengusaha hotel beroperasi dalam sistem pasaran bebas dan sememangnya mempunyai struktur harga berbeza mengikut permintaan serta musim pelancongan.
Katanya, kerajaan boleh memanggil pengusaha hotel untuk berbincang mengenai penyediaan penginapan sektor perhotelan ketika LIMA berlangsung.
“Musim pelancong ramai, mereka dapat tambahan pendapatan. Berbanding musim low season, pengusaha tidak dapat ramai pengunjung.
“Jadi, kerajaan boleh panggil pengusaha hotel sebab ia pasaran bebas. Mereka pun bisnes. Masa mana dia jual murah, masa mana dia jual mahal, boleh bincang kerjasama,” katanya.
Sanusi berkata, situasi sama turut berlaku dalam industri penerbangan apabila harga tiket meningkat ketika musim puncak dan lebih rendah pada musim kurang permintaan.
“Itu dinamakan sistem ekonomi pasaran bebas. Kalau dibandingkan bukan waktu cuti atau cuti sekolah atau sekarang, sama juga di mana-mana negara pun. Tiket kapal terbang pun sama, peak season mahal, low season murah,” katanya.
Sanusi menegaskan, LIMA perlu dikekalkan di Langkawi kerana ia lokasi paling sesuai untuk penganjuran mega tersebut kerana memiliki kawasan yang luas selain kedudukan strategik dan tidak mengganggu laluan penerbangan utama.
Katanya, penganjuran acara berkonsepkan maritim dan aeroangkasa memerlukan akses ruang udara dan laut yang sesuai.
“Kalau di Melaka, akan terganggu dengan laluan penerbangan KLIA. Laluan penerbangan sedia ada pun sibuk. Langkawi luas, ada laut dan tidak mengganggu. Sesuai dan tempatnya strategik,” katanya.
Tambah beliau, LIMA juga sudah mempunyai nilai serta identiti tersendiri selepas dianjurkan di Langkawi selama lebih tiga dekad.
“Langkawi sudah 30 tahun anjur LIMA. Mula-mula diasaskan, memang ada kesukaran. Saya jumpa orang-orang pioneer dalam industri ini. Kalau berbanding sekarang, kata mereka LIMA sudah jauh ke depan,” katanya.
Sehubungan itu, Sanusi berpandangan, sekiranya Melaka mahu menganjurkan pameran maritim dan aeroangkasa, acara baharu boleh diwujudkan tanpa memindahkan LIMA dari Langkawi.
“Boleh buat di Melaka, tetapi buat pameran lain, bukan LIMA.
“Ada beri cadangan suruh buat pameran wau di Melaka. Namanya pun Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA), jadi sesuai buat di Langkawi.
“Kalau pindah ke Melaka, jadi MIMA. Kalau di Johor, jadi JIMA. Siapa lagi yang nak bawa LIMA ke negeri dia? Tukar nama lah,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, Melaka berpotensi menjadi lokasi alternatif LIMA sekiranya Langkawi tidak lagi sesuai pada masa hadapan.
LIMA diperkenalkan dan dianjurkan buat kali pertama pada 11 November 1991 di Langkawi ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Penganjuran sulung itu dikenali sebagai LIMA ’91 dan pada asalnya bertujuan menjadi platform pameran aeroangkasa serta maritim antarabangsa, selain membantu mengembangkan industri aeroangkasa Malaysia dan mempromosikan Langkawi.
Kerajaan kemudiannya meneruskan LIMA sebagai acara dwitahunan di Langkawi.

0 Comments