“TAK PERLU USIK LIMA, SELESAIKAN ISU SEBENAR”
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Masalah akses ke Langkawi perlu diselesaikan segera, bukannya menjadikan alasan itu untuk memindahkan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) ke negeri lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, cadangan memindahkan LIMA ke Melaka bukan sahaja tidak wajar, malah boleh memberi kesan besar kepada ekosistem pelancongan dan keusahawanan di pulau lagenda itu.
Katanya, penganjuran LIMA sudah melebihi tiga dekad dan sebati dengan Langkawi, menjadikan kedua-duanya terikat daripada aspek identiti dan jenama antarabangsa.
“Tak perlu usik kerja buat ini. Isu sebenar ialah Langkawi sukar diakses berbanding destinasi di tanah besar.
“Maka perkara yang perlu diselesaikan adalah akses ke Langkawi, bukannya pindah program sebesar itu dan buat di tempat lain. Itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneroka kemungkinan menganjurkan LIMA di Melaka sekiranya Langkawi pada masa hadapan dianggap tidak lagi sesuai.
Menurut Mohd Salleh, ketika Kerajaan Negeri sedang berusaha mendapatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah perkhidmatan feri serta mengembalikan semula keistimewaan Pulau Bebas Cukai sepenuhnya, cadangan memindahkan LIMA hanya akan menimbulkan keresahan ramai pihak.
“Saya harap Kerajaan Persekutuan teliti perkara yang Kedah telah angkat dari segi penyelesaian kepada masalah feri dan usaha kembalikan Pulau Bebas Cukai yang pernah dinikmati Langkawi. Semua ini adalah untuk membantu dan memperhebatkan lagi pelancongan di Langkawi.
“Cadangan (pindah) itu perlu dipertimbangkan sedalam-dalamnya, malah tidak wajar dibangkitkan,” katanya.
Menurut beliau, LIMA bukan sekadar sebuah pameran kerana sejarah, identiti dan jenamanya sudah sebati dengan Langkawi sejak penganjuran sulung pada 1991.
Malah katanya, pemilihan Langkawi sebagai lokasi penganjuran juga bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya sebahagian daripada aspirasi untuk membangunkan pulau itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
“LIMA itu sendiri, Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi menunjukkan Langkawi bukan sekadar lokasi penganjuran tetapi sebahagian daripada jenama yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa.
“Pemilihan Langkawi bukan secara kebetulan. Ia adalah aspirasi Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membangunkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa melalui gabungan industri pertahanan, maritim, aeroangkasa dan pelancongan,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran LIMA turut memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri pelancongan dan usahawan tempatan, justeru sebarang langkah memindahkannya boleh memberi kesan besar kepada sektor berkenaan.
“Kalau nak majukan mana-mana negeri dalam sektor pelancongan, tak perlu ketengahkan cadangan yang membuatkan pemain industri dan orang ramai resah.
“Sepatutnya untuk majukan mana-mana negeri atau tempat, wujudkan benda baharu. Jangan cedok produk orang lain untuk dibawa ke tempat itu,” katanya.
Mohd Salleh berkata, penganjuran LIMA merupakan acara yang amat dinantikan pemain industri di Langkawi, malah penganjuran tahun lalu merekodkan jumlah kehadiran pengunjung tertinggi sepanjang acara itu diadakan.
“Orang luar datang ke Langkawi, maknanya bukan datang ke Kedah saja, tetapi ke Malaysia. Jadi, teruskan dengan penganjuran LIMA di Langkawi.
“Cadangan pindahkan ke lokasi lain selain Langkawi hanya buang masa. Isu ini tak perlu dibincang, tak perlu dibahaskan.
“Kekalkan di Langkawi, di situlah tempat yang melahirkan identiti LIMA,” katanya.

0 Comments