MASYARAKAT DIMINTA LAPOR ANAK TERJEBAK DADAH

 


“DADAH IBARAT BARAH, MEROSAKKAN GENERASI MUDA”


Oleh: Roslinda Hashim 


SIK - Masyarakat diminta tidak malu untuk melaporkan anak atau ahli keluarga yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan gejala itu terus merebak dalam komuniti.


Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan segera perlu diambil ketika individu terbabit masih mempunyai peluang untuk dirawat dan dipulihkan, bukannya membiarkan ketagihan berlarutan sehingga mengancam keselamatan keluarga.


“Rakan-rakan yang ada anak terjebak najis dadah, panggil polis, mari ambil anak. Jangan sayang anak sampai lama-lama dia letak pisau di tengkuk kita, minta duit nak beli dadah.


“Masa tu tak boleh buat apa dah. Sementara masih ada masa untuk dirawat, panggil AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) ambil anak, masuk pusat pemulihan sampai selesai masalah dia,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kembara Kasih Kebajikan 2026 ‘Jejak Prihatin, Aspirasi Sejahtera’ di Dewan Bandar Baharu Beris Jaya, di sini, hari ini.


Menurut beliau, penyalahgunaan dadah kini sudah menjadi barah dalam masyarakat dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi membendungnya daripada terus menular, khususnya dalam kalangan generasi muda.


“Di kawasan kita, ada ramai anak-anak terjebak dengan dadah. Ini berita yang menyedihkan. 


“Dadah adalah masalah yang sudah menjadi barah. Sebagai ahli masyarakat, kita pakat tolong jaga, tolong tengok dan bagi tahu. Tolonglah, jangan malu.


“Sebagai ibu bapa, tidak usah malu untuk maklumkan anak terbabit dadah. Kita pakat tolong. Kalau anak kita kena, jangan bagi anak kawan kena. Kalau anak kawan kena, kita pakat jaga anak kita, jangan pula anak kita kena,” katanya.


Sanusi berkata, masyarakat juga perlu memahami bahawa tindakan polis menahan lebih ramai penagih dadah tidak semestinya menunjukkan masalah berkenaan semakin buruk di sesebuah negeri .


“Kalau kita tengok statistik, memang banyak. Kedah antara tertinggi di Malaysia kerana banyak polis tangkap. Statistik naik. Kalau polis tidak tangkap, angka ke bawah. Jadi kita suruh polis tangkap. Biarlah tinggi pun, biar orang tahu. Asalkan kita dapat selesaikan masalah ini bersama-sama,” katanya.


Tambah beliau, selain tindakan penguatkuasaan, usaha pemulihan perlu diberikan keutamaan supaya mereka yang terjebak tidak terus menjadi punca kepada penularan gejala itu dalam masyarakat.


“Kalau dibiarkan berlarutan, kesian kepada dia, akan berjangkit pada anak orang lain, habis satu kampung. Jadi pakat-pakat ambil perhatian dan tolong perhatikan supaya jangan merebak, jangan rasa ralat. Ambillah tindakan, panggil AADK. Kurunglah anak sekejap untuk rawat dia,” katanya.


Sanusi turut mengingatkan bahaya penyalahgunaan dadah moden termasuk bahan sintetik yang disalahgunakan melalui cecair vape dan dijual secara dalam talian.


Beliau berkata, ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak termasuk pembelian bahan mencurigakan melalui platform dalam talian bagi mengelakkan mereka terjebak dengan bahan terlarang.


“Benda-benda itu semua ada jual dalam talian. Perhatikan anak-anak kita, elak beli benda itu.


“Ada yang terjebak dengan cecair vape, ais, syabu, semua ini dadah sintetik, dadah moden. Dadah sejenis penyakit ketagihan, akhirnya akan membunuh anak-anak kita, membunuh generasi masa depan negara,” katanya.


Sanusi berkata, masalah penyalahgunaan dadah perlu dibendung secara menyeluruh bermula dari rumah, kampung dan kariah sebelum diperluaskan kepada komuniti serta daerah.


“Sudahlah susah, makan dadah pula. Mengaji tak pandai, harta tak ada, ilmu tak banyak, terjebak dengan dadah, habislah.


“Sementara masih ada peluang, marilah kita pakat bersungguh-sungguh, ambil perhatian untuk bendung gejala penyalahgunaan dadah,” katanya.


Beliau menyeru seluruh masyarakat berganding bahu membina komuniti yang saling mengambil berat  bagi memastikan generasi muda tidak terus menjadi mangsa penyalahgunaan dadah.


“Marilah kita berganding bahu membina negeri yang lebih sejahtera, masyarakat yang sentiasa mengambil berat, saling bantu-membantu,” katanya.


Pada 13 Jun, berdasarkan statistik AADK bagi 2025, Kedah merupakan antara empat negeri yang mencatat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini dengan nisbah 965 penagih dan penyalah guna dadah bagi setiap 100,000 penduduk.


Tiga negeri bersempadan lain yang mencatat kadar tertinggi ialah Kelantan merekodkan 1,105 orang diikuti Terengganu (997) dan Perlis (970).


Secara keseluruhan, sebanyak 191,832 tangkapan melibatkan penagih dan penyalah guna dadah serta bahan terlarang direkodkan sepanjang tahun lepas.


Terbaharu, Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan, Terengganu merekodkan kadar nisbah penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia, iaitu 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh suku kedua tahun 2026.

Post a Comment

0 Comments