Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Keputusan untuk tidak meluluskan lesen perjudian baharu di Kedah kini terletak di bawah tanggung jawab Kementerian Kewangan (MOF).
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kerajaan Negeri sudah mengambil langkah sewajarnya dengan tidak lagi mengeluarkan lesen premis perjudian melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), selepas keputusan itu dibuat pada 2021 dan mula dikuatkuasakan pada 2023.
“Lesen judi dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan. PBT mengeluarkan lesen premis. Selepas dapat lesen daripada Kementerian Kewangan, operator judi datang ke PBT untuk mohon lesen premis.
“Kalau kita tidak beri, dia terawang-awanglah, tidak ada lesen. Kementerian Kewangan bagi, kenapa PBT tidak bagi? Ini antara punca yang membawa kes ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada taklimat khas penjelasan isu ‘Halangan Pengharaman Judi di Kedah’ di Seri Mentaloon, di sini.
Program anjuran Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) itu turut menampilkan peguam yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud sebagai ahli panel.
Sanusi berharap Menteri Kewangan mempunyai keberanian untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian di Kedah.
“Saya harap Menteri Kewangan (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) ada keberanian. Jangan bagi lesen judi di Kedah lagi, mulai hari ini sampai kiamat. Saya harap mereka ada keberanian itu.
“Bola berada di tangan Menteri Kewangan, kalau kamu tidak luluskan, kamu tolong kami dalam membendung dosa besar ini,” katanya.
Menurut beliau, antara faktor lesen perjudian diluluskan adalah kerana kerajaan memperoleh hasil daripada aktiviti berkenaan.
“Lesen judi diberi sebab apa? Sebab kerajaan dapat hasil. Kerajaan dapat pendapatan daripada aktiviti perjudian, maka Kementerian Kewangan bagi. Pasal operator judi bayar. Rosak atau tidak rosak orang ramai, kerajaan tidak kira. Janji dapat duit,” katanya.
Sanusi mendedahkan, Kerajaan Negeri sudah berulang kali berunding dengan Kementerian Kewangan supaya tidak lagi mengeluarkan lesen perjudian di Kedah, selepas pihaknya membuat keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen premis perjudian.
“Saya buat langkah paling cermat. Selepas kita buat pengumuman pada 2021, saya minta bahagian kerajaan tempatan pergi ke MOF untuk berunding, bukan bulldoze.
“Kita maklum kepada MOF, kami sudah buat keputusan. Selepas ini, kami tidak keluarkan lagi lesen premis judi. Jadi Kerajaan Negeri mohon MOF tidak lagi mengeluarkan lesen judi,” katanya.
Sanusi berkata, pendekatan itu dilakukan selama setahun bagi memastikan proses pentadbiran berjalan mengikut prosedur dan tidak menimbulkan isu perundangan.
Katanya, Kerajaan Negeri turut memberi peluang kepada premis perjudian sedia ada untuk terus beroperasi sehingga tempoh lesen mereka tamat sebelum langkah berkenaan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2023.
“Setahun kita beri peluang. Yang ada beroperasi sampai lesen mati. Lesen ini biasa diperbaharui awal tahun. Jadi yang mati Oktober 2022, tidak diperbaharui lagi. Sampailah 2023, berjalanlah langkah itu. Semua PBT tidak beri lesen premis,” katanya.
Beliau berkata, tindakan Kerajaan Negeri itu dibuat secara teratur selepas rundingan dan makluman berulang kali kepada Kementerian Kewangan, namun isu berkenaan akhirnya dibawa ke mahkamah pada 2024.
“Jangan kata kita tidak cermat. Kita sudah perhalusi dengan teratur,” katanya.
Sanusi turut menegaskan Kerajaan Negeri akan terus melihat ruang yang masih ada di bawah bidang kuasa PBT, termasuk aspek perancangan, zon dan perkara berkaitan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
“Kita tengoklah ruang yang masih ada bawah kuasa PBT, dan hal-hal bersabit dengan kuasa PBT yang dibenarkan di bawah Akta 171,” katanya.
Beliau turut tegaskan, isu perjudian dalam talian juga bukan berada di bawah bidang kuasa negeri, sebaliknya tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa Persekutuan.
“Judi online pun bukan bawah bidang kuasa saya. Itu bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Katanya, isu perjudian tidak boleh dilihat hanya dari sudut golongan bukan Islam kerana kewujudan premis perjudian turut berpotensi menarik masyarakat Islam untuk terlibat.
“Mereka kata judi untuk bukan Islam. Masalahnya, tarikan kepada tempat itu, magnetnya sedut semua orang termasuk Islam.
“Perjudian ini sudah lama. Saya tidak nafikan hak bukan Islam untuk berjudi, tetapi oleh kerana kamu ada di sini, ia menyeret orang Islam turut serta,” katanya.
Sanusi berharap Kerajaan Persekutuan mempunyai keberanian mengambil tindakan terhadap aktiviti perjudian meskipun berdepan kepentingan serta pengaruh kartel yang sudah lama menguasai industri berkenaan.
0 Comments