HARAMKAN JUDI: SITUASI BERBEZA DENGAN KELANTAN, KES KEDAH DICABAR DI MAHKAMAH -SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Perbezaan komposisi kaum antara Kedah dan Kelantan kemungkinan menjadi faktor yang menyebabkan isu pengharaman aktiviti perjudian di kedua-dua negeri itu berdepan situasi berbeza.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, antara sebab utama Kelantan dan Terengganu dilihat tidak berdepan isu seperti di Kedah adalah kerana operator perjudian di negeri berkenaan tidak mencabar keputusan Kerajaan Negeri ke mahkamah.

“Kenapa Kedah tak boleh, Kelantan boleh? Sebab Kelantan tidak bawa kes ke mahkamah. Operator judi Kelantan, Terengganu tidak bawa kes ke mahkamah. Maka tak timbullah isu.

“Ia mungkin berkaitan dengan komposisi kaum. Di Kelantan orang bukan Islam tak sampai lima peratus. Di Kedah hampir 30 peratus; 22 peratus Cina, tujuh peratus India dan Siam 70,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada taklimat khas penjelasan isu ‘Halangan Pengharaman Judi di Kedah’ di Seri Mentaloon, di sini.

Program anjuran Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) itu turut menampilkan peguam yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud sebagai ahli panel.

Menurut Sanusi, isu perjudian juga perlu dilihat dari sudut kesannya terhadap masyarakat Islam, termasuk orang Melayu yang turut terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Orang Melayu yang berjudi pun ada. Oleh kerana melaratnya isu ini di kalangan orang Islam, dan  orang Melayu, kita bertindak,” katanya.

Mengulas bidang kuasa penguatkuasaan, beliau berkata, tindakan terhadap premis perjudian tanpa lesen terletak di bawah kuasa polis dan autoriti berkaitan, manakala premis yang mempunyai lesen pula berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Yang tak ada lesen, kuasa dia polis, pihak-pihak yang ada autoriti. Yang ada lesen, bawah PBT. Jadi itulah yang memandu keputusan Kerajaan Negeri sedaya yang ada pada kita,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi berkata keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak kebenaran untuk merayu tidak bermakna usaha Kerajaan Negeri dalam melaksanakan pendekatan amal makruf nahi mungkar terhadap aktiviti perjudian perlu terhenti.

“Tidak boleh letakkan noktah kerana Mahkamah Persekutuan menolak kebenaran untuk merayu.
Oleh kerana kebenaran merayu tak dapat, maka berhenti setakat itulah.

“Namun, ada banyak jalan untuk amal makruf nahi mungkar ini dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya menyokong usaha memperkukuh pelaksanaan syariat Islam, khususnya dalam mengekang aktiviti perjudian.

“Saya nak ajak seluruh rakyat, baik Melayu, Cina, India, yang tidak suka kepada aktiviti perjudian, yang menjadi mangsa kepada rakusnya perjudian, berjuang bersama kami,” katanya.

Sanusi turut mengingatkan usaha melaksanakan syariat Islam bukan sesuatu yang mudah kerana sentiasa berdepan pelbagai cabaran.

“Tidak mudah untuk Islam dilaksanakan. Sentiasa ada cabaran. Telah diikat kaki dan tangan kita semua, walaupun kita telah merdeka, meletakkan Islam agama rasmi, beri peruntukan banyak kepada syiar Islam, supaya nampak adanya syiar Islam, tetapi syariat tak boleh dilaksanakan,” katanya. 

Post a Comment

0 Comments