“HUTAN SIMPAN KEKAL BERTAMBAH KEPADA 343,465.92 HEKTAR”
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Keluasan Hutan Paya Laut di Kedah meningkat sebanyak 513.2 hektar atau 7.6 peratus dalam tempoh lima tahun, daripada 6,201 hektar pada 2021 kepada 6,714.2 hektar.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peningkatan itu adalah hasil usaha Kerajaan Negeri memperkukuh pewartaan kawasan hutan selain memastikan khazanah alam berkenaan diurus secara berkekalan.
Beliau berkata, pada 2022, Kerajaan Negeri mewartakan 2,294.38 hektar Tanah Kerajaan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) membabitkan tujuh kawasan Hutan Simpan.
“Ia merangkumi Hutan Simpan Merbok Tambahan seluas 323.37 hektar, Hutan Simpan Terenas Tambahan (1,134.53 hektar), Hutan Simpan Rimba Teloi Tambahan (590.50 hektar), Hutan Simpan Pulau Songsong (22.30 hektar), Hutan Simpan Jerlun (185.74 hektar), Hutan Simpan Pulau Dayang Bunting (4.19 hektar) dan Hutan Simpan Pulau Bidan seluas 33.85 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di sini, malam tadi.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan berangkat merasmikan sambutan berkenaan.
Sanusi berkata, berdasarkan rekod terkini, Kedah mempunyai 343,921.06 hektar Tanah Berhutan, dengan 99.86 peratus daripadanya atau 343,465.92 hektar merupakan HSK.
Menurutnya, keluasan HSK itu turut meningkat berbanding 341,881 hektar yang direkodkan pada 2021.
Menurut beliau, sebanyak 1,716,702 pokok bakau telah ditanam di Kedah sejak 2005 sehingga kini, melibatkan kawasan seluas 338.80 hektar Hutan Paya Laut.
“Pada 23 Ogos, sebanyak 500 pokok bakau ditanam di Hutan Simpan Jerlun dengan penglibatan pelbagai agensi dan komuniti setempat,” katanya.
Sanusi berkata, usaha menghijaukan negeri ini turut diperkasakan menerusi Kempen Penanaman 2.2 Juta Pokok yang dilancarkan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 21 Januari 2025, yang merekodkan sebanyak 502,510 pokok berjaya ditanam.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Kedah melaksanakan pengurusan berdasarkan Rancangan Pengurusan Hutan Paya Laut Negeri Kedah yang diterbitkan pada 2020.
“Dokumen ini menjadi rujukan bagi tempoh 10 tahun, iaitu dari 2020 hingga 2029, bagi memastikan pengurusan kawasan Hutan Paya Laut dilaksanakan secara optimum mengikut prinsip Pengurusan Sumber Secara Berkekalan (SFM), meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.
“Selaras dengan tema Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa, iaitu ‘Ekosistem Hutan Paya Laut ke Arah Kelestarian Ekonomi Biru’, Kedah menekankan peranan penting ekosistem hutan paya laut sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang mampan berteraskan sumber marin dan pesisir,” katanya.
Beliau berkata, ekosistem Hutan Paya Laut bukan sekadar penting untuk melindungi biodiversiti, menstabilkan iklim dan mengurangkan hakisan pantai, malah berpotensi menjadi pemangkin pembangunan ekonomi menerusi perikanan lestari, ekopelancongan dan penggunaan sumber semula jadi secara bertanggungjawab.
“Pengurusan lestari habitat biodiversiti Hutan Paya Laut bukan lagi satu keperluan, tetapi tuntutan mendesak dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, kepupusan spesies dan tekanan pembangunan.
“Konsep kehidupan secara bersama antara manusia dan alam semula jadi perlu dijadikan asas dalam merangka strategi dan tindakan masa hadapan. Kejayaan ini bergantung kepada pendekatan menyeluruh, berasaskan penyelidikan dan responsif terhadap realiti semasa,” katanya.
Sanusi turut menegaskan kepentingan penyelidikan dan penguatkuasaan dipergiatkan bagi memastikan kawasan Hutan Paya Laut terus terpelihara.
Katanya, Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Sumber Hutan di Hutan Paya Laut Merbok pada 2013, misalnya, berjaya menghasilkan penerbitan makalah saintifik yang boleh dijadikan rujukan serta penanda aras dalam merancang strategi pengurusan hutan secara rasional dan lestari.
Dalam masa sama, beliau berkata, pengurusan hutan memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan masyarakat, bagi memastikan usaha pemuliharaan memberi impak jangka panjang kepada alam sekitar serta kesejahteraan manusia.
“Konsep keseimbangan dalam memenuhi keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar sering dititikberatkan dalam amalan pengurusan Hutan Simpanan Kekal di Kedah.
“100 peratus HSK di Kedah kini disijilkan di bawah Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS), penerimaan Sijil Pengurusan Hutan Malaysia Criteria & Indicators for Sustainable Forest Management Certification (MC&I SFM) membuktikan sumber hutan diuruskan dengan cekap dan berteraskan piawaian antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, pengiktirafan ini membuktikan Kerajaan Negeri serius memperkukuh kelestarian alam selari dengan Agenda Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil 1992 untuk capai sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan litupan pokok.
“Fokus pengurusan hutan kini bukan sahaja kepada pengeluaran kayu-kayan, tetapi turut merangkumi perlindungan biodiversiti, alam sekitar dan warisan budaya,” katanya.

0 Comments