SULTAN KEDAH SERU UMAT ISLAM TAMPILKAN WAJAH ISLAM SEBENAR

 

“UTAMAKAN NILAI KASIH SAYANG, HIKMAH, IHSAN” 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Umat Islam perlu tampil membawa wajah Islam yang sebenar dengan mengutamakan nilai kasih sayang, hikmah dan ihsan ketika dunia berdepan konflik, peperangan, krisis kemanusiaan serta peningkatan budaya kebencian mahupun perpecahan.

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, peristiwa yang berlaku termasuk penderitaan rakyat Palestin dan beberapa wilayah Islam yang bergolak wajar dijadikan peringatan bahawa keamanan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Menurut baginda, dalam mendepani situasi itu, umat Islam hendaklah memperkukuh perpaduan, memperbanyakkan doa serta menghulurkan bantuan mengikut kemampuan, selain terus menjadi contoh melalui akhlak yang baik kepada seluruh masyarakat.

“Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa masyarakat yang dibina atas dasar kejujuran, amanah, ihsan dan kasih sayang mampu melahirkan sebuah tamadun yang dihormati dunia,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah tahun 2026M/1448H di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, hari ini

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan berangkat mengiringi baginda.

Sultan Kedah bertitah, nilai kejujuran, amanah, kasih sayang dan ihsan yang ditunjukkan Rasulullah SAW perlu terus diperkukuh dalam diri setiap anggota masyarakat sebagai benteng menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Menurut baginda, keagungan Rasulullah SAW bukan sekadar terletak pada kepimpinan baginda, malah lebih utama pada kemuliaan akhlak yang menjadi pedoman sepanjang zaman.

“Sejarah telah membuktikan keagungan Nabi Muhammad SAW bukan sahaja diakui oleh umat Islam, malah turut dihormati oleh ramai tokoh dunia.

“Kekuatan sebenar Rasulullah SAW terletak pada kemurnian akhlak, kasih sayang, kejujuran dan sifat ihsan yang dizahirkan dalam setiap tindakan baginda.

“Nilai tersebut berjaya menyatukan manusia daripada pelbagai latar belakang sehingga terbina sebuah tamadun yang berteraskan keadilan dan kemanusiaan,” titah Sultan Sallehuddin.

Dalam pada itu, Sultan Kedah berharap seluruh rakyat terus memelihara perpaduan dan keamanan yang sekian lama menjadi kekuatan negeri ini.

Baginda bertitah, perbezaan latar belakang, bangsa dan pegangan tidak seharusnya menjadi jurang pemisah, sebaliknya menjadi asas untuk masyarakat saling memahami dan menghormati.

“Semangat saling membantu dan bertoleransi hendaklah terus dipupuk demi kesejahteraan negeri yang kita cintai ini,” titah baginda.

Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Sultan Sallehuddin turut mengajak seluruh rakyat bermuhasabah serta memperbaharui azam untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan.

“Semoga dengan menjadikan keperibadian Rasulullah SAW sebagai teladan dapat melahirkan masyarakat yang lebih berakhlak, bersatu padu dan berintegriti serta sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT,” titah baginda.

Post a Comment

0 Comments