Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah berkemungkinan berdepan tuntutan ganti rugi beratus juta ringgit daripada operator perjudian yang tidak dibenarkan beroperasi susulan dasar tiada lagi lesen premis judi dikeluarkan atau diperbaharui mulai 2023.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun bersedia mempertahankan dasar berkenaan di mahkamah sekiranya tuntutan ganti rugi dikemukakan pengusaha terbabit.
Menurut beliau, tuntutan itu berpotensi melibatkan jumlah yang besar memandangkan aktiviti perjudian mungkin menguntungkan syarikat terlibat sehingga mereka sanggup mengheret kes ke mahkamah.
“Judi ini bisnes, perniagaan menguntungkan mereka, maka orang cabar kita di mahkamah.
“Cabaran ini ada dua. Yang pertama, untuk apa yang mereka sudah dapat. Yang kedua, kita kena hadap ganti rugi syarikat-syarikat sepanjang tempoh mereka tidak boleh beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada taklimat khas penjelasan isu ‘Halangan Pengharaman Judi di Kedah’ di Seri Mentaloon, di sini.
Program anjuran Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) itu turut menampilkan peguam yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud sebagai ahli panel.
Sanusi berkata, jumlah sebenar tuntutan ganti rugi hanya dapat diketahui sekiranya pengusaha perjudian terbabit mengemukakan tuntutan di mahkamah, termasuk bukti pendapatan yang didakwa terjejas akibat tidak diberikan lesen premis.
“Saya tidak tahu adakah selama mereka beroperasi di Kedah, mereka isytihar pendapatan sebenar kepada LHDN atau tidak.
“Kalau mereka tidak isytihar, mereka hendak tuntut ganti rugi, mudah untuk kita patahkan hujah.
“Kalau mereka isytihar, sebanyak mana mereka dapat, kena bicara di mahkamah. Kita ‘perang’ lagilah untuk tuntutan ganti rugi selama tidak beri lesen premis,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri perlu berdepan implikasi kewangan susulan keputusan mahkamah yang mendapati pihaknya tidak mempunyai kuasa tertentu berkaitan dasar berkenaan.
“Dasar-dasar yang dibuat oleh Kerajaan Negeri selepas mahkamah dapati kita tidak ada kuasa itu, kita kena tanggung. Ini perlu dihujahkan di mahkamah.
“Akan terhidang nanti, berapa syarikat judi untung di Kedah? Mesti dia untunglah. Dia nak declare ganti rugi berapa kita kena bayar, tentu dia habaq dia untung berapa.
“Pada masa itu, kita boleh tengok berapa syarikat judi di Kedah untung dan berapa duit orang Kedah pergi kepada bisnes judi,” katanya.
Menurut Sanusi, Kerajaan Negeri tidak akan berundur dalam mempertahankan dasar tersebut walaupun berdepan kemungkinan tuntutan dalam jumlah yang besar.
“Ganti rugi itu mungkin banyak, beratus-ratus juta mungkin. Mungkinlah, kita tidak tahu syarikat judi untung berapa. Kalau tidak, mereka tidak akan lawan sampai ke tahap ini.
“Kita lawan dululah. Sekupang pun duit kita nak bagi kepada syarikat judi, kita lawan sampai dinding dulu,” katanya.
Sanusi turut mendedahkan, terdapat kutipan wang perlindungan kepada aktiviti perjudian haram dalam tempoh lesen-lesen premis perniagaan itu tidak dikeluarkan.
“Ada pihak berautoriti beritahu saya, perlindungan kepada aktiviti judi haram di Kedah sewaktu lesen-lesen tidak dikeluarkan ini sebulan RM7 juta. Ada orang kutip dan bahagi sama-sama depa,” katanya.
Tegas beliau, isu berkenaan menunjukkan keperluan memperkemaskan undang-undang supaya tidak lagi membuka ruang kepada tafsiran yang boleh menyebabkan kerajaan kalah dalam tindakan perundangan.
“Tentulah di pihak pembuat undang-undang ada langkah-langkah yang patut diambil supaya undang-undang ini lebih kemas pada masa depan. Supaya tidak lagi dicabar dan kerajaan kalah.
“Ini tugas ahli Parlimen, sama ada pembangkang atau kerajaan. Semoga Allah beri kekuatan pada ahli-ahli Parlimen yang membuat undang-undang untuk bercakap hal ini di Parlimen,” katanya.

0 Comments