“ISU LESEN JUDI TIDAK JEJASKAN PELABURAN KE KEDAH”

 

SANUSI JAWAB DAKWAAN TAKUTKAN PELABUR

Oleh: Roslinda Hashim

GURUN - Pendirian Kedah berhubung isu lesen premis perjudian tidak menakutkan pelabur, sebaliknya langkah itu dilihat penting bagi memastikan negeri ini mempunyai masyarakat yang sihat dan bebas daripada budaya negatif.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, isu berkenaan tiada kaitan dengan prestasi pelaburan di negeri itu, malah kemasukan pelaburan terus meningkat setiap tahun.

Menurutnya, sehingga kini belum ada pelaburan yang mencatatkan penurunan mahupun menarik diri disebabkan pendirian Kedah itu.

“Baguslah.. usaha Kedah itu (ke arah kerajaan Islamik). 

“Takutkan pelabur? Itu dipanggil Islamophobia. Sekarang ini dipanggil Sanusifobia pula. Hairan betul saya. Takut apa saya? Saya buat benda betul. Jangan takut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kilang pembuatan SIB ZZT Sdn. Bhd., kerjasama strategik Sapura Industrial Berhad (SIB) dengan Zhejiang Zhongze Precision Technology Co. Ltd. (ZZ Tech), hari ini.

Beliau berkata, pencapaian pelaburan Kedah sepanjang enam tahun bawah pentadbirannya menunjukkan negeri itu kekal menjadi pilihan pelabur, dengan nilai pelaburan mencecah RM183 bilion berbanding RM45 bilion yang direkodkan dalam tempoh 50 tahun sebelum itu.

“Tiap-tiap tahun meningkat. Belum ada lagi tahun di mana angka pelaburan menurun. Belum ada, semua meningkat.

“Saya punya pencapaian selama enam tahun mengatasi 50 tahun zaman sebelum saya. Takkan saya tak bagus? Dalam enam tahun, RM183 bilion berbanding RM45 bilion dalam tempoh 50 tahun,” katanya.

Menurut Sanusi, perkembangan terbaharu dibuktikan menerusi keputusan sebuah syarikat tempatan yang mempunyai sejarah operasi 80 tahun, Sapura Industrial Berhad (SIB) untuk terus memilih Kedah sebagai lokasi pelaburan menerusi kerjasama strategik dengan Zhejiang Zhongze Precision Technology Co. Ltd. (ZZ Tech).

“Kalau kita tak bagus, orang tak datang (melabur). Ini syarikat 80 tahun, pilih Kedah lagi. SIB syarikat lokal, ini bukti orang terima Kedah. Masyarakat kita terjaga dengan baik. Kedah semakin hari semakin improve,” katanya.

Sanusi berkata, Kerajaan Negeri juga mahu memastikan pembangunan industri berteknologi tinggi disokong oleh tenaga kerja yang sihat dan berkemahiran, serta bebas daripada pengaruh budaya negatif seperti perjudian serta penyalahgunaan dadah.

Katanya, pekerja dalam sektor industri berteknologi tinggi memerlukan tumpuan, kemahiran serta mental dan fizikal yang baik bagi memenuhi keperluan pelabur.

“Siapa yang bekerja di Kedah, di kilang berteknologi tinggi, pendapatan tinggi, dia tak boleh terjebak dengan budaya-budaya negatif seperti dadah, judi.

“Benda itu tak boleh improve kita, ia akan heret kita ke belakang. Jadi eloklah kita banteras semua benda itu untuk kita sediakan orang-orang yang sihat, miliki kesihatan mental yang baik untuk industri,” katanya.

Tambah beliau, pelabur bukan sahaja melihat kepada kemudahan serta infrastruktur yang disediakan, malah turut menilai kepakaran, kemahiran dan kualiti tenaga kerja yang tersedia.

“Orang pun tak datang tempat kita kalau kita ini semua kaki judi atau dadah. Pelabur nak tengok kita punya talent, orang-orang muda yang sedia untuk ceburkan diri dalam industri, apa kemahiran yang ada serta tenaga kerja yang sihat.

“Budaya negatif tak payah adalah di sini. Sokonglah usaha saya,” katanya.

Kedah sebelum ini mengumumkan tidak meneruskan pemberian lesen premis operasi perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023 berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Disember 2021.

Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan mahkamah berkaitan arahan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perniagaan perjudian di negeri itu.

Pada 12 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Kedah untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan.

Post a Comment

0 Comments