UNISHAMS, UNIVERSITI AL-AZHAR PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK

 

“BUKA PELUANG LEPASAN DIPLOMA UNISHAMS LANJUT PENGAJIAN”

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR  -Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Al-Azhar, Kaherah, dengan membuka peluang lebih luas dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti pelajar.

Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dr. Mohd. Amy Azhar Mohd. Harif berkata, kedua-dua institusi mengenal pasti beberapa bidang kerjasama strategik melibatkan program mobiliti pelajar, perkongsian kepakaran akademik, penganjuran persidangan, seminar, bengkel dan kursus jangka pendek.

Menurutnya, turut dibincangkan peluang laluan akademik bagi lepasan diploma UniSHAMS untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Universiti Al-Azhar.

“Kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan global UniSHAMS selain memperluaskan kolaborasi dalam bidang pengajian Islam, syariah, undang-undang dan disiplin berkaitan.

"Ia juga membuka ruang yang luas kepada pelajar dan tenaga akademik UniSHAMS untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa serta memperkasa kualiti pendidikan dan penyelidikan," katanya.

Jalinan tersebut diperkukuhkan menerusi lawatan rasmi beliau ke Universiti Al-Azhar bagi mengadakan perbincangan dengan Rektor Universiti Al-Azhar, Prof. Dr. Salamah Jumaah Dawood.

Delegasi UniSHAMS turut disertai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Akli Ahmad; Dekan Kulliyyah Usuluddin, Sains Al-Quran dan Bahasa Arab, Dr. Mukhamad Hadi Musolin Subagio serta Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Dr. Reda Owis Hassan Serour.

Menurut Prof. Dr. Mohd. Amy Azhar, lawatan ke Universiti Al-Azhar merupakan agenda utama siri lawatan kerja delegasi UniSHAMS ke Kaherah, yang turut  merangkumi kunjungan ke beberapa institusi lain bagi meneroka peluang kolaborasi strategik dalam pelbagai bidang akademik dan penyelidikan.

“Kerjasama strategik ini juga dijangka memberi impak positif dalam memperkasa kecemerlangan akademik UniSHAMS di peringkat antarabangsa serta memperluas peluang pendidikan kepada pelajar,” katanya.

Sementara Prof. Dr. Salamah menegaskan kepentingan hubungan kerjasama antara kedua-dua universiti, khususnya dalam bidang pengajian Islam serta penyelidikan ilmiah.

Beliau turut memuji peranan UniSHAMS sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif memperkasa kajian berkaitan warisan Islam serta menyumbang kepada pemahaman Islam berteraskan metodologi yang sesuai dengan masyarakat Malaysia.

“Kami di Universiti Al-Azhar menyokong penuh usaha memperluaskan aktiviti akademik dan penyelidikan bersama antara kedua-dua pihak,” katanya.

UniSHAMS yang ditubuhkan pada 1994 dengan nama Institut Agama Islam Negeri Kedah (INSANIAH) mempunyai sejarah hubungan erat dengan Universiti Al-Azhar sehingga sering digelar sebagai ‘Al-Azhar Asia Tenggara’, hasil kerjasama akademik yang terjalin sejak awal penubuhan khususnya dalam bidang pengajian Islam, bahasa Arab dan tradisi keilmuan.

Lawatan terbaharu itu sekali gus memperkasakan semula hubungan bersejarah tersebut secara lebih strategik dalam usaha memperkukuh kecemerlangan UniSHAMS sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang berdaya saing di peringkat global.

Post a Comment

0 Comments