USUL CALON MUSLIMAT PAS TANDING DUN BAYU PADA PRU16

 

Oleh: Roslinda Hashim

BALING - Usul agar calon daripada Dewan Muslimat PAS bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) mencuri perhatian apabila cadangan itu dibangkitkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Baling Kali Ke-67.

Usul tersebut dikemukakan oleh perwakilan PAS Cawangan Kampung Hijrah, Ustaz Mohamad Yaacob yang mencadangkan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling, Robiah Salleh, diketengahkan sebagai calon baharu bagi kerusi berkenaan.

Cadangan tersebut menerima sokongan sepenuhnya apabila disambut dengan tepukan gemuruh daripada perwakilan dan pemerhati yang menghadiri mesyuarat di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini.

Menurut Mohamad, kekuatan dan imej Dewan Muslimat PAS di DUN Bayu semakin menyerlah menerusi gerak kerja yang konsisten dalam mendekati masyarakat serta melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan.

Katanya, sumbangan dan komitmen ditunjukkan sayap Muslimat itu wajar diberikan pengiktirafan dengan mempertimbangkan peluang untuk meletakkan calon wanita pada PRU16.

Perkembangan itu dilihat memberi isyarat awal kemungkinan berlakunya perubahan strategi politik di DUN Bayu yang kini disandang oleh Mohd Taufik Yaacob daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sejak Ogos 2023.

Pada masa sama, DUN Bayu turut menjadi perhatian susulan hubungan yang dikatakan semakin tegang antara PAS dan BERSATU khususnya di kawasan berkenaan.

Keadaan itu dipercayai berpunca daripada pelbagai isu yang dibangkitkan akar umbi termasuk rungutan segelintir penduduk bahawa kebajikan serta keperluan mereka kurang diberikan perhatian.

Post a Comment

0 Comments