GAS MALAYSIA METERAI KERJASAMA BANGUNKAN TERMINAL REGASIFIKASI LNG RM3 BILION DI YAN


 Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Gas Malaysia Bhd memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan Tokyo Gas Co. Ltd. dan VTTI B.V bagi membangunkan Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair (LNG) di Yan, melibatkan anggaran pelaburan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara.

Projek strategik ini bakal mewujudkan pintu masuk LNG baharu di wilayah utara Semenanjung Malaysia, dan akan dibangunkan sebagai Unit Simpanan dan Regasifikasi Terapung (FSRU) di luar pesisir berhampiran Pulau Bunting.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Azli Mohamed berkata, terminal berkenaan dijangka mempunyai kapasiti sehingga enam juta tan metrik setahun (MTPA), menjadikannya antara pembangunan infrastruktur tenaga strategik dalam negara.

“Pembangunan terminal berkenaan dijangka meningkatkan fleksibiliti bekalan gas, mempelbagaikan sumber tenaga gas negara serta memenuhi pertumbuhan permintaan daripada sektor perindustrian dan penjanaan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemeteraian JDA itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat memperluaskan peranannya secara menegak dalam rantaian nilai LNG.

"Kerjasama dengan pemain bertaraf global seperti Tokyo Gas dan VTTI membolehkan kami memanfaatkan amalan terbaik antarabangsa sambil memastikan projek ini kekal selari dengan agenda tenaga nasional negara.

"Ia juga menandakan langkah penting dalam memperkukuh daya tahan tenaga negara untuk jangka panjang," katanya 

Tambah beliau, selepas menerima Surat Kebenaran Meneruskan Projek daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) pada Mac, pembangunan projek kini memasuki fasa seterusnya melibatkan penilaian teknikal, komersial dan kawal selia sebelum Keputusan Pelaburan Muktamad (FID) dibuat.

Sementara itu, wakil Naib Presiden Eksekutif Korporat merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Luar Negara Tokyo Gas Co. Ltd., Kasutani Toshihide menegaskan, syarikat itu komited menyokong pembangunan industri gas Malaysia berasaskan pengalaman luas dalam operasi terminal LNG di Jepun serta projek FSRU di Filipina.

Manakala Naib Presiden Eksekutif Pertumbuhan VTTI, Tom Smeenk pula berkata, projek Terminal Regasifikasi LNG Yan selaras dengan strategi syarikat memperluaskan platform terminal LNG global selain membantu mengukuhkan keselamatan bekalan ketika Malaysia terus meliberalisasikan pasaran gas.

Menerusi kerjasama itu, Gas Malaysia akan menerajui pembangunan projek dengan menggabungkan kepakaran setiap rakan strategik. 

Gas Malaysia menyumbang pengalaman dalam pembangunan infrastruktur serta pengetahuan pasaran domestik, manakala Tokyo Gas membawa kepakaran dalam perolehan LNG serta operasi regasifikasi, selain VTTI menyumbang pengalaman global dalam pembangunan dan pengoperasian terminal tenaga.

Setelah siap kelak, terminal itu dijangka memperkukuh keselamatan tenaga negara, merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah utara Semenanjung serta meningkatkan daya tahan sistem bekalan gas nasional, sejajar dengan aspirasi Gas Malaysia menerusi visi GM32 untuk muncul sebagai pemain infrastruktur tenaga strategik negara.

Pembangunan Terminal Regasifikasi LNG Yan ini dilaksanakan ketika negara terus memperkukuh sistem tenaga bagi menyokong pertumbuhan industri dan perubahan corak penggunaan tenaga.

Permintaan yang semakin meningkat terhadap sumber bahan api yang lebih bersih dan fleksibel menjadikan LNG komponen penting dalam memastikan campuran tenaga negara kekal stabil serta sedia berdepan peralihan tenaga pada masa hadapan.

Post a Comment

0 Comments