RCI TABUNG HAJI: BENTANGKAN SECARA TELUS, JANGAN JADIKAN MODAL POLITIK

 

Oleh: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden PAS

Kenyataan Perdana Menteri (PMX) untuk membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) disambut baik. Malah, laporan tersebut sewajarnya telah dibentangkan lebih awal kepada umum demi kepentingan umat Islam dan ketelusan pentadbiran negara.

Namun, masa pengumuman tersebut dibuat menimbulkan persoalan. Pengumuman ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, ditambah pula dengan isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery di Indonesia yang sedang hangat diperkatakan, boleh menimbulkan persepsi bahawa isu RCI Tabung Haji sedang digunakan sebagai helah politik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu yang sedang membelenggu kerajaan.

PAS telah berulang kali mendesak agar hasil dapatan RCI yang ditubuhkan pada tahun 2022 dibentangkan kepada umum dengan segera. PAS konsisten dengan pendirian bahawa sebarang salah laku yang bercanggah dengan nilai Islam dan undang-undang negara mesti disiasat dan diambil tindakan tanpa mengira siapa yang terlibat.

Persoalannya, mengapa setelah sekian lama laporan ini tidak dibentangkan, pengumuman mengenainya dibuat ketika landskap politik Negeri Sembilan sedang berubah, termasuk perkembangan hubungan politik antara BN, PH dan PN? Kerajaan perlu menjelaskan perkara ini bagi mengelakkan persepsi bahawa laporan RCI hanya diketengahkan apabila wujud kepentingan atau tekanan politik tertentu.

Kita tidak mahu RCI Tabung Haji yang dilaksanakan menggunakan dana awam menerima nasib sama seperti laporan RCI berkaitan Batu Puteh, yang pembentangannya di Parlimen menjadi pertikaian. Laporan yang melibatkan kepentingan awam tidak seharusnya dikendalikan berdasarkan percaturan politik atau kepentingan mana-mana pihak.

Tabung Haji ialah institusi yang sangat dekat dengan umat Islam di negara ini. Justeru, ketelusan dalam mengurus dan menjelaskan segala isu yang melibatkan institusi tersebut amat penting bagi memastikan keyakinan umat Islam terhadap Tabung Haji terus terpelihara.

PAS sekali lagi menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti melanggar undang-undang. Sekiranya terdapat salah laku, mereka yang bertanggungjawab mesti dihadapkan kepada proses undang-undang secara adil dan telus.

24 Julai 2026

Post a Comment

0 Comments