PN SASAR SAPU BERSIH 11 KERUSI, PERCAYA MOMENTUM MAMPU KE PUTRAJAYA

 

Oleh: Roslinda Hashim

JEMPOL - Perikatan Nasional (PN) menyasarkan kemenangan di kesemua 11 kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, selain yakin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) mampu mencetuskan gelombang politik sehingga ke Putrajaya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, gabungan undi penyokong PN dan BN diyakini mampu menghasilkan kemenangan di semua kerusi yang ditandingi.

“Kita sasar menang 11 kerusi. Penyatuan ini nak pergi mana lagi? Campur undi PN dengan undi BN, menang tak? Berdoalah bagi PN menang. Insya-ALLAH, kami orang baik-baik. Tak ada masalah apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Ceramah Umum Perdana PN-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting di sini, malam tadi.

PN menampilkan Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa sebagai calon di DUN Serting, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek (Ampangan), Dr. Kumar Paramasivam (Lobak), Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) dan Haji Kamarol Ridzuan Mohd. Zain (Paroi).

Turut dicalonkan ialah Danni Rais di DUN Klawang, Erik Micheal (Mambau), Lee Boon Shian (Bukit Kepayang), Sathes Kumar Nilameham (Lukut), Ustaz Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) serta Haji Ridzuan Ahmad (Gemas).

Mengulas sama ada momentum PRN Negeri Sembilan mampu diteruskan ke negeri lain, Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah optimis gelombang tersebut bukan sahaja boleh dibawa ke Melaka, malah sehingga ke Putrajaya.

“Bukan itu saja (Melaka), ke Putrajaya, bos! Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi menolak dakwaan pihak tertentu yang didakwa masih memainkan naratif bagi menakutkan masyarakat bukan Melayu terhadap PAS.

Menurutnya, PAS tidak mempunyai rekod terpalit dengan jenayah atau rasuah, malah parti itu lebih dikenali dengan budaya menderma dan membantu rakyat.

“Kenapa nak takut dengan PAS? PAS orang baik-baik. Mana ada orang PAS ganas-ganas. Saya seorang saja suara deras, yang lain semua baik-baik.

“Kita tak pernah buat siapa-siapa, tak pernah ada rekod sakau atau cederakan orang. PAS baik-baik, jadi tak ada siapa pun perlu takut kepada PAS.

“Logik tak logik? Menakutkan orang bukan Melayu?” soal beliau.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu turut tegaskan, PAS mempunyai rekod yang bersih selain menyifatkan gelaran ‘Tin Milo’ yang sering dilemparkan kepada parti itu sebagai simbol keikhlasan ahlinya mengumpul dana melalui sumbangan.

“Orang PAS memberi. Kita tak sakau, kita menderma. Mereka panggil ‘PAS Tin Milo’, itulah yang bersih. Rakyat Malaysia patutnya bersyukur kerana ada parti yang macam ni. 

“Mereka (Pakatan Harapan) cuba gambarkan Tin Milo itu tak elok, padahal itulah lambang keikhlasan kami menderma dan memberi untuk negara ini. Jadi, kenapa nak takut dengan PAS?” jelas beliau.

Post a Comment

0 Comments