“SEPATUTNYA SERANG PH, BUKAN PARTI ANGGOTA PN”
Oleh: Roslinda Hashim
JEMPOL - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan risiko ‘runyup’ atau lenyap daripada landskap politik negara sekiranya terus menyerang PAS berbanding menumpukan serangan terhadap Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan Bersatu yang sering mengkritik PAS ketika kempen pilihan raya adalah tidak masuk akal kerana kedua-dua parti berada di blok pembangkang, dan sepatutnya bekerjasama meraih sokongan pengundi daripada pihak kerajaan.
"Bersatu sepatutnya tibai PH. Ini dia duk tibai PAS. Selama ini dia hidup dengan undi PAS, lepas itu dia tibai PAS pula.
"Kalau perangai kekal macam itu, tak lama lagi Bersatu akan 'runyup' daripada politik tanah air ini. Apa kerja tibai PAS? Yang patut kena tibai ialah PH," katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, di sini.
Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, strategi menyerang rakan pembangkang sendiri hanya akan merugikan Bersatu kerana sokongan yang diperlukan untuk memenangi pilihan raya sepatutnya diperoleh daripada pengundi kerajaan, bukannya daripada parti sekutu.
"Masuk pilihan raya sebagai pembangkang, nak menang kena ambil undi daripada kerajaan, bukan undi daripada rakan gabungan.
"Sepanjang saya dengar ceramah pemimpin-pemimpin Bersatu, tak ada lagi yang mengata PH. Semua kritik PN terarah kepada PAS," katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan mendakwa ia hanya akan melemahkan kedudukan Bersatu menjelang pilihan raya akan datang.
"Nak menang pilihan raya, tibai sama-sama pembangkang. Patut tibai PH. Bukan tala senapang sama sendiri. Ada ka masuk pilihan raya, tembak sama sendiri.
"Tutup buku, lupakan saja. Biarlah dia seorang-seorang. Ini pilihan raya yang terakhir untuk mereka sebelum runyup," katanya.
Dalam pada itu, Sanusi masih berharap agar Bersatu terbuka hati menyertai penyatuan PN bersama Barisan Nasional (BN) dan mengenepikan sikap ego demi menghadapi cabaran politik yang semakin mencabar.
"Bersatu kena sedar. Mereka perlu sertai penyatuan PN-BN untuk sama-sama naik atas bahtera besar ini. Gelombang di luar terlalu besar untuk mereka hadapi secara bersendirian.
"Marilah atas bahtera ini. Berpakatlah elok-elok. Jangan rasa besar kepala. Kalau Bersatu mahu menyertai bahtera besar ini, mereka perlu bersama kita. Kalau tidak, hanyutlah. Ketepikan ego, sikap sombong, demi penyatuan bangsa," katanya.

0 Comments