BERSATU PERLU 'KEMBALI KE PANGKAL JALAN' - SANUSI

Oleh: Roslinda Hashim 

JEMPOL - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu ‘kembali ke pangkal jalan’ susulan tindakan parti itu memecat beberapa Ahli Parlimen yang menang atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan tersebut dipercayai berpunca daripada krisis dalaman dan pertembungan kepentingan peribadi yang disifatkannya tidak selari dengan semangat perpaduan dalam gabungan itu.

"Bukan PAS sedia untuk kembali kepada Bersatu. Bersatu yang kena kembali ke pangkal jalan.

"Kenapa mereka pecat ramai Ahli Parlimen yang kita menangkan dalam PRU lalu? Itu atas dasar peribadi, krisis dalaman dan menjadi pertembungan peribadi. Adakah kepentingan peribadi lebih besar daripada perpaduan ummah? Tak betul begitu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Ceramah Umum Perdana PN-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, malam tadi.

Mengulas kenyataan Bersatu turut menyumbang kepada kejayaan PAS dalam PRU15, Sanusi sebaliknya menegaskan kemenangan 30 kerusi Parlimen Bersatu juga banyak bergantung kepada kekuatan jentera PAS.

"Bersatu pun menang 30 kerusi kerana PAS. Mereka mana ada jentera. Tengok bila bersama PAS, khemah, UDM dan jentera kempen berapa ramai? Semuanya digerakkan oleh PAS. Sudah lah tak ada, pecat orang pula. Semua bergantung pada PAS. Kalau tak ada PAS, Bersatu pi mana?

"Jangan kata PAS tumpang Bersatu. Sebenarnya Bersatu yang tumpang PAS. Bila bersama kita, mereka pun dapat rahmat dan menang 30 kerusi," katanya.

Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kejayaan PAS mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah parti itu dengan memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15 adalah hasil kerjasama politik antara PAS dan Bersatu dalam PN.

Muhyiddin berkata, ia dibuktikan menerusi peningkatan majoriti kemenangan PAS di beberapa kawasan yang ditandingi atas tiket PN berbanding pilihan raya sebelumnya.

Beliau turut mendakwa sokongan hampir 70 peratus pengundi Melayu kepada PN turut didorong oleh kerjasama erat antara PAS dan Bersatu.

Post a Comment

0 Comments