PBN SEKADAR CADANGAN, TIADA DALAM PERBINCANGAN RASMI - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

JEMPOL - Cadangan menamakan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN) tidak pernah dibincangkan secara rasmi oleh kepimpinan kedua-dua gabungan itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan tersebut hanyalah pandangan peribadi dan tidak pernah dibawa ke peringkat perbincangan rasmi.

"Tak ada dalam perbincangan. Saya pun tak pernah dengar. Cuma dia (Hamzah) syok-syok saja kot cadang. Syok-syok saja. Bukan ada perbincangan sampai peringkat itu pun.

"Kita ini ada parti masing-masing. PN ada parti dia, BN ada parti dia. PBN pula datang dari mana? Bukan ada parti PBN," katanya ketika ditemui media selepas Ceramah Umum Perdana PN-BN di DUN Serting, malam tadi.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata, isu penjenamaan kerjasama tersebut tidak wajar diperbesarkan kerana bukan melibatkan dasar atau keputusan rasmi.

"Saya anggap itu satu aksesori saja. Tak ada apa. Tak perlu dibesar-besarkan. Hal ini bukan hal dasar. Tak ada bincang lagi," katanya.

Sebelum ini, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan supaya kerjasama PN dan BN dinamakan PBN bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penyokong kedua-dua gabungan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

Menurutnya, sebutan PN-BN mungkin menyukarkan sesetengah pihak, sekali gus menyebabkan nama PBN dilihat lebih ringkas dan mudah difahami pengundi.

Bagaimanapun, cadangan itu menerima pelbagai reaksi daripada pemimpin BN.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada sebarang perbincangan rasmi mengenai kelangsungan kerjasama itu selepas PRN Negeri Sembilan.

Sementara, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan istilah PBN sebagai tidak relevan kerana boleh memberi gambaran seolah-olah wujud sebuah gabungan politik baharu.

Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Besar Pahang menegaskan kerjasama BN dan PN ketika ini hanyalah persefahaman pilihan raya khusus bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Post a Comment

0 Comments