Oleh: Roslinda Hashim
Foto: Mahadzir Hasan Det
ALOR SETAR - Lebih 50 peniaga dan penduduk di sekitar Jambatan Manjalara berhimpun pada Rabu bagi membantah kelewatan projek penggantian jambatan tersebut, selain menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera bagi memastikan projek itu disiapkan tanpa sebarang penangguhan lagi.
Perhimpunan itu diadakan susulan notis pemakluman yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berhubung status terkini projek berkenaan yang sekali lagi menerima lanjutan masa (EOT) kali keempat.
Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman, Ooi Shou Wayne, kelewatan projek itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran trafik, malah memberi kesan besar kepada peniaga yang kehilangan pelanggan serta mengalami kemerosotan pendapatan akibat operasi perniagaan terjejas sejak kerja pembinaan dimulakan.
“Projek yang sepatutnya menjadi kemudahan penting kini bertukar menjadi beban kepada masyarakat setempat,” katanya, hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan maklumat rasmi yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pembangunan Infrastruktur, Kesejahteraan Bandar dan Penguatkuasaan pada 19 Julai, projek itu hanya mencapai kemajuan sebenar sebanyak 70 peratus berbanding 88 peratus yang dijadualkan, sekali gus merekodkan kelewatan sebanyak 18 peratus.
"Lebih mengecewakan, projek ini sekali lagi menerima EOT kali keempat dengan tarikh siap baharu dilanjutkan sehingga 1 Januari 2027.
"Sampai bila rakyat perlu terus menunggu dan menanggung kesan akibat kelewatan ini," katanya.
Shou Wayne turut kesal kerana pengguna jalan raya kini terpaksa berdepan kesesakan setiap hari, selain berdepan risiko keselamatan yang semakin meningkat serta gangguan perjalanan akibat projek yang masih belum siap.
Tegas beliau, Kerajaan Persekutuan tidak boleh terus memberi alasan teknikal tanpa penyelesaian yang jelas kerana rakyat kini mahukan tindakan segera dan ketelusan dalam pengurusan projek.
“Rakyat tidak memerlukan lebih banyak janji, sebaliknya mahu tindakan yang tegas, ketelusan dalam pengurusan projek selain pihak yang bertanggungjawab mengambil serius penderitaan yang ditanggung masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong supaya segera membawa isu berkenaan kepada perhatian Kerajaan Persekutuan selain mendesak Menteri Kerja Raya turun sendiri meninjau keadaan di tapak projek.
“Jangan hanya bergantung kepada laporan atas kertas, lihat sendiri keadaan sebenar, dengar keluhan rakyat dan peniaga, jelaskan kepada rakyat apakah tindakan konkrit yang akan diambil.
“Kerajaan perlu ambil tanggungjawab penuh bagi memastikan projek ini dipercepatkan dan disiapkan segera. Setiap kelewatan membawa kesan kepada kehidupan rakyat, ekonomi peniaga kecil dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Shou Wayne berkata, rakyat Kota Setar sudah terlalu lama bersabar dan tidak mahu lagi mendengar alasan setiap kali tarikh siap projek ditangguhkan.
"Rakyat mahukan tindakan, bukan alasan. Rakyat mahukan penyelesaian, bukan penangguhan," katanya.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kota Setar memaklumkan kebolehsiapan projek mengikut jadual lanjutan sehingga 1 Januari 2027 masih tidak dapat dipastikan dan bergantung kepada prestasi semasa kontraktor serta kemajuan kerja di tapak.

0 Comments