NETWORK SCHOOL: KDN PERLU BENTANG HASIL SIASATAN SEGERA!

 

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS SELANGOR

Oleh: Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

Naib Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Selangor

1. Dewan Pemuda PAS Selangor memandang serius perkembangan projek Network School yang beroperasi sejak 2024 di Forest City, Johor. Apa yang membimbangkan, projek yang diasaskan tokoh teknologi serta pelabur kripto, Balaji Srinivasan ini didakwa mengambil warga Israel untuk menyertai program tersebut menggunakan pasport negara kedua.

2. Pendirian Malaysia terhadap Israel sangat jelas. Tiada hubungan diplomatik dalam apa jua keadaan. Maka, kewujudan Network School di Johor menimbulkan pelbagai reaksi berkenaan kedaulatan tanah air. Projek sebegini bukan sekadar mahu membentuk model masyarakat baharu, tetapi dilihat lebih menjadi jalan tikus kepada warga Israel memasuki Malaysia melalui helah legitimasi.

3. Ancaman ini bukan cakap kosong tetapi ada asasnya. Terdahulu, Balaji pernah menyatakan konsep "Network State" mempunyai persamaan dengan gerakan Zionisme awal, iaitu bagaimana komuniti yang berselerak di seluruh dunia dapat berhimpun dan membentuk sebuah masyarakat atau negara baharu di lokasi tertentu. Beliau pernah menggunakan istilah "tech Zionism" untuk menerangkan analogi tersebut.

4. Malaysia tidak boleh dibiarkan menjadi pangkalan aktiviti yang bakal menjejaskan kedaulatan tanah air, undang-undang mahupun kepentingan negara. Agensi kerajaan seperti Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi keselamatan berkaitan didesak untuk menyiasat segera identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat, tujuan kemasukan mereka ke Malaysia serta sama ada tujuan kemasukan yang diisytiharkan adalah selaras dengan aktiviti sebenar yang dijalankan.

5. Justeru, Dewan Pemuda PAS Selangor menegaskan bahawa keterbukaan Malaysia terhadap kemajuan teknologi, inovasi dan pelaburan antarabangsa tidak boleh mengatasi kepentingan kedaulatan negara, keselamatan rakyat serta prinsip dasar luar Malaysia yang konsisten terhadap isu Israel. Sebarang inisiatif luar yang beroperasi di Malaysia mestilah tertakluk kepada undang-undang negara, menghormati nilai dan pendirian Malaysia serta tidak menjadi ruang untuk agenda atau ideologi asing yang boleh menjejaskan kepentingan nasional.


#TerusMemimpin #PemudaPAS

#DekatiKemenangan

#BaktiDemiSelangor #SelangorDeservesBetter

Post a Comment

0 Comments