Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi medan ujian penting kepada pembentukan jajaran politik baharu antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), yang berpotensi menjadi formula bagi menghadapi pilihan raya akan datang sekiranya kerjasama itu membuahkan hasil positif.
Kemungkinan itu disuarakan Pengerusi PN, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, bahawa prestasi gabungan itu pada PRN Negeri Sembilan akan dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat untuk meneruskan model kerjasama tersebut di negeri lain.
Sudah tentu pilihan raya terdekat, selepas Johor dan Negeri Sembilan menjadi ruang untuk kedua-dua gabungan menilai kelemahan dan melakukan penambahbaikan bagi meningkatkan pencapaian pada masa depan.
"Apabila kita berdepan sesuatu pilihan raya, kita sentiasa melakukan penambahbaikan. Jika keputusan yang kita capai dalam PRN Negeri Sembilan ini baik, kita akan tambah baik lagi supaya pada pilihan raya berikutnya kita memperoleh keputusan yang lebih baik," kata Ahmad Samsuri selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan, pada Khamis.
Kenyataan beliau itu jelas memberi gambaran bahawa kerjasama PN-BN bukan lagi bersifat sementara untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan semata-mata, sebaliknya sedang diuji sebagai pendekatan politik baharu yang berpotensi mengubah landskap persaingan politik negara.
Beliau turut menyifatkan jajaran politik tersebut mampu menawarkan kestabilan politik yang lebih kukuh serta memberikan nafas baharu kepada sistem politik negara, sekali gus menarik sokongan bukan sahaja pengundi Melayu, malah masyarakat pelbagai kaum.
"Saya percaya ini merupakan langkah yang sangat penting, bukan sahaja kepada pengundi Melayu, bahkan pengundi pelbagai kaum. Mereka akan melihat suatu bentuk kestabilan baharu yang boleh dicapai melalui jajaran politik seperti ini," katanya lagi.
Kerjasama baharu itu juga menguji strategi kempen dan kesetiaan akar umbi sama ada ia diterima dengan baik atau sebaliknya.
Namun Ahmad Samsuri enggan mendedahkan bentuk kerjasama yang akan dipamerkan sepanjang tempoh berkempen, sebaliknya sekadar memberi bayangan beberapa pendekatan luar daripada kebiasaan akan diperlihatkan selepas proses penamaan calon.
"Saya tidak mahu beritahu lebih awal. Apabila penamaan calon selesai dan tempoh kempen bermula, perkara-perkara ini akan dapat dilihat sendiri," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan manifesto pilihan raya akan diumumkan secara bersama antara PN dan BN, namun katanya, perkara itu masih di peringkat perbincangan.
"Itu satu kemungkinan," katanya ringkas.
Kenyataan beliau itu menunjukkan kedua-dua gabungan sedang menguji tahap penerimaan akar umbi terhadap kerjasama rentas blok yang sebelum ini dilihat sukar berlaku.
Sekiranya pendekatan tersebut berjaya meningkatkan prestasi, ia berpotensi menjadi model baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mengulas dakwaan kerjasama PN-BN mungkin menimbulkan kebimbangan pengundi bukan Melayu, Ahmad Samsuri menegaskan persefahaman itu tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai sesuatu yang mengancam mana-mana kaum.
Beliau jelaskan, PN sendiri telah lama membuktikan kerjasama pelbagai kaum melalui penyertaan parti-parti komponennya, sekali gus menolak dakwaan yang disifatkannya sebagai cubaan menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat.
Mengulas mengenai pemilihan 11 calon PN di Negeri Sembilan, katanya, ia merupakan gabungan antara muka lama yang berpengalaman serta calon baharu yang mempunyai latar belakang pentadbiran bagi menawarkan kepimpinan lebih pelbagai, sekiranya diberi mandat membentuk Kerajaan Negeri.
"Ini memberikan kepelbagaian apabila kita menjadi kerajaan di Negeri Sembilan nanti. Kita bertanding untuk menang," katanya.
Kerjasama PN-BN ini bukan sekadar strategi pembahagian kerusi, sebaliknya membawa mesej lebih besar iaitu membentuk jajaran politik baharu berteraskan kestabilan serta kepentingan negara.
Matlamat utama kerjasama itu bukan untuk memberi kelebihan kepada mana-mana parti, sebaliknya bagi mewujudkan keadaan yang lebih baik untuk rakyat dan negara.
"Kami adalah kumpulan yang sangat praktikal, sama ada PAS mahupun parti-parti lain dalam PN. Kami mahu bekerjasama untuk capai keadaan yang lebih baik bagi negara," kata Ahmad Samsuri.
Ia memberi gambaran bahawa kerjasama PN-BN cuba diposisikan sebagai pendekatan politik berasaskan kepentingan rakyat, berbanding persaingan tradisional yang selama ini memisahkan kedua-dua gabungan.
Dari sudut strategi pilihan raya, pembahagian kerusi mengambil kira realiti semasa, khususnya kelebihan BN sebagai penyandang di sebahagian besar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kebanyakan kerusi ditandingi BN merupakan kerusi penyandang dimenangi gabungan itu pada pilihan raya lalu, justeru adalah logik untuk BN mempertahankan kawasan tersebut.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan PN mencuba nasib di 11 daripada 36 kerusi, dengan muafakat 25 kerusi ditandingi BN.
Persefahaman ini menyebabkan pembahagian kerusi dibuat berdasarkan kekuatan sedia ada setiap gabungan, bukannya pembahagian sama rata.
Pendekatan tersebut mencerminkan strategi lebih pragmatik dengan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, selain memaksimumkan peluang kemenangan di kawasan yang dianggap kompetitif.
Ia juga mengukuhkan naratif bahawa kerjasama PN-BN sedang bergerak ke arah model perkongsian politik yang lebih tersusun, dengan setiap gabungan memanfaatkan kelebihan masing-masing demi meningkatkan peluang membentuk kerajaan.
Sekiranya pendekatan ini membuahkan hasil, ia berpotensi menjadi asas kepada kerjasama lebih luas pada pilihan raya akan datang, sekali gus mengubah corak persaingan politik negara yang selama ini didominasi pertandingan antara blok pembangkang dan kerajaan.

0 Comments