PN-BN: MASA DEPAN POLITIK MELAYU-ISLAM
Oleh: Dr Mukhtaruddin Musa
Ketua Penyelidik (Governans & Polisi)
Yayasan Strategik Lestari,
Pemerhati politik
1. Era politik yang terlalu taasub kepada kelompok sendiri semakin tidak sesuai dengan realiti politik semasa. Pada suatu ketika, setiap kelompok politik cenderung menolak apa sahaja idea pihak lawan, walaupun idea itu baik dan boleh disokong bersama.
2. Politik Malaysia hari ini tidak lagi sama seperti era 1960-an hingga 1980-an, malah tidak juga sama seperti suasana politik 1990-an hingga awal 2000-an. Ketika itu, pertembungan antara parti-parti Melayu memang tajam, namun struktur politik, demografi pengundi dan kedudukan kuasa masih belum terlalu mendesak kepada penyatuan menyeluruh.
3. Hari ini keadaannya berbeza. Perubahan demografi, pola pengundian baharu, pengaruh media sosial, kemunculan pengundi muda dan kemungkinan persempadanan semula pada masa hadapan menjadikan penyatuan politik Melayu semakin mendesak.
4. Jika parti-parti Melayu terus berpecah, kawasan majoriti Melayu boleh menjadi semakin terdedah kepada kekalahan akibat pertandingan sesama sendiri. Dalam konteks inilah keputusan PRN Johor wajar diberi perhatian serius. Ia bukan sekadar kemenangan Barisan Nasional (BN) atau kekalahan Pakatan Harapan-DAP (PH-DAP), tetapi isyarat bahawa penyusunan undi Melayu mampu mengubah landskap politik.
Formula Satu Lawan Satu & Isyarat Johor
5. Isyarat itu dapat dilihat dengan jelas melalui keputusan PRN Johor. BN menang besar dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala PH hanya lapan kerusi.
6. Namun kemenangan ini tidak wajar dibaca secara mudah sebagai kekuatan BN semata-mata. Sebahagian besar kemenangan BN berlaku dalam keadaan tidak wujud pertembungan langsung antara BN dan PN, khususnya di 23 kerusi yang tiada calon PN.
7. Dalam banyak kawasan tersebut, pertandingan sebenar lebih tertumpu antara BN dengan PH-DAP atau parti-parti kecil yang kurang memberi impak besar. Antara pengecualian penting ialah Puteri Wangsa dimenangi calon PKR, Dr Maszlee Malik.
8. Dalam konteks ini, kemenangan BN perlu dibaca bersama faktor seruan PAS kepada ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon BN di kawasan tidak ditandingi PN-PAS.
9. Seruan ini dibuat atas pertimbangan strategik menghalang kemenangan PH-DAP, khususnya DAP. Maka, formula satu lawan satu bukan sekadar soal parti mana bertanding, tetapi bagaimana undi Melayu dan undi anti-PH dapat disusun supaya tidak berpecah.
10. Di Johor, apabila pertandingan tidak lagi menyaksikan pertembungan BN-PN secara meluas, ruang PH-DAP untuk menang melalui pecahan undi menjadi lebih sempit.
11. Kemenangan ini juga berlaku selepas PH-DAP gagal mempertahankan momentum di Sabah. Di Johor, PH-DAP bukan sahaja kehilangan beberapa kerusi penting, malah mula memperlihatkan kemerosotan keyakinan kalangan sebahagian pengundi bukan Melayu, India dan pengundi muda.
12. DAP tidak lagi boleh menganggap sokongan bukan Melayu sebagai simpanan tetap. Politik menakutkan pengundi melalui naratif “Gelombang Hijau” juga tidak lagi sekuat dahulu apabila rakyat mula menilai rekod, sikap dan kemampuan sebenar parti yang bertanding.
13. Dari sudut PAS, keputusan ini mengesahkan pentingnya politik keutamaan. PAS melihat fahaman politik Malaysian Malaysia, liberalisme dan sosialisme dibawa PH-DAP sebagai lebih mudarat jika diberikan ruang memerintah.
14. Oleh itu, dalam keadaan tertentu, menyokong calon BN dilihat lebih bermanfaat bagi menghalang kemenangan PH-DAP.
15. Strategi ini turut membantu parti bukan Melayu yang lebih sederhana seperti MCA dan MIC menewaskan DAP-PH di beberapa kawasan. Ini menunjukkan penyatuan Melayu tidak semestinya membawa politik sempit atau menolak bukan Melayu.
16. Sebaliknya, jika diurus secara matang, ia boleh menjadi asas kepada gabungan politik yang lebih stabil, sederhana dan berpaksikan Perlembagaan.
Parti Tunggak Melayu Perlu Berlapang Dada
17. Untuk membina penyatuan lebih kukuh selepas Johor, parti-parti tunggak Melayu perlu berlapang dada membaca keputusan ini.
18. Cabaran di Johor mungkin kelihatan lebih mudah kepada UMNO dan PAS kerana Johor sejak sekian lama dianggap lubuk kekuatan UMNO.
19. Malah, ketika PRN 2022, walaupun PN ketika itu mempunyai kelebihan nasional selepas pernah menguasai Kerajaan Persekutuan, PN yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin masih gagal menawan Johor.
20. Ketika itu, beliau masih mempunyai imej positif sebagai bekas Perdana Menteri yang dikaitkan dengan pengurusan pandemik COVID-19 serta mempunyai latar sebagai bekas Menteri Besar Johor. Namun, kelebihan itu tidak memadai untuk meruntuhkan kekuatan struktur UMNO-BN di negeri tersebut.
21. Dalam PRN Johor terbaharu, BN sekali lagi membuktikan kekuatan organisasinya. Namun BN juga perlu membaca keputusan ini dengan jujur.
22. Kemenangan besar itu bukan semata-mata kerana kekuatan BN sahaja. Faktor kepimpinan Menteri Besar Johor yang dilihat kurang berpolitik dalam mentadbir negeri memang membantu membina keyakinan rakyat.
23. Begitu juga kemarahan sebahagian rakyat terhadap kesombongan politik PH dan kepimpinan nasional. Namun faktor lain yang tidak boleh dinafikan ialah sokongan ahli dan penyokong PAS kepada calon BN di kawasan tidak ditandingi PAS atau PN.
24. Di sinilah pentingnya sikap politik matang. Ahli PAS patuh kepada arahan pimpinan untuk membantu calon BN walaupun BN merupakan seteru politik dalam banyak keadaan.
25. Tindakan ini membuktikan PAS mampu meletakkan keutamaan umat dan kepentingan Melayu-Islam mengatasi keuntungan kerusi parti semata-mata.
26. Jika BN membaca keputusan ini sebagai kemenangan mutlak kekuatannya sendiri, maka BN mungkin terlepas memahami faktor sebenar yang mengukuhkan kemenangan tersebut.
27. Begitu juga PN; jika kekalahan di beberapa kerusi tidak dijadikan pengajaran, maka krisis dalaman hanya akan terus melemahkan jentera gabungan.
Penyatuan Tidak Boleh Sekadar Taktikal
28. Daripada situasi Johor, jelas penyatuan politik Melayu tidak boleh sekadar berlaku secara taktikal ketika pilihan raya.
29. Sejarah politik Malaysia menunjukkan penyatuan Melayu sering muncul apabila umat berdepan keadaan mendesak. Kerjasama PAS dalam Barisan Nasional pada era 1970-an, Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990-an dan Muafakat Nasional selepas PRU14 semuanya lahir daripada keperluan membaca semula keseimbangan kuasa politik Melayu.
30. Namun sejarah juga mengajar bahawa penyatuan yang dibina tanpa kejujuran, disiplin dan kerangka dasar yang jelas mudah retak apabila berdepan perebutan kerusi, ego parti dan rasa curiga.
31. Sebab itu, dalam PRN Negeri Sembilan dan pilihan raya seterusnya, formula satu lawan satu memang penting, tetapi ia tidak memadai jika parti-parti Melayu masih dibelenggu ego dan persaingan dalaman yang tidak selesai.
32. PN dan BN perlu melihat Johor sebagai makmal politik: apabila undi Melayu tersusun, PH-DAP boleh dikalahkan; apabila jentera parti bergerak seiring, parti lawan hilang ruang; dan apabila parti bukan Melayu yang lebih sederhana seperti MCA dan MIC turut diberi tempat, kerjasama itu membentuk keseimbangan politik yang lebih luas.
33. Maka UMNO, PAS dan BERSATU perlu menilai semula hubungan masing-masing secara lebih matang. Penyatuan bukan bermaksud semua perbezaan mesti dipadamkan, tetapi perbezaan itu perlu diurus dalam kerangka kepentingan yang lebih besar.
34. Begitu juga MCA, MIC dan parti-parti sederhana lain perlu melihat bahawa kestabilan negara hanya boleh dibina melalui gabungan yang menghormati teras Melayu-Islam tanpa menafikan hak masyarakat lain.
Penyatuan PN-BN Bukan Lagi Pilihan
35. Kesimpulannya, PRN Johor memberikan pelajaran besar kepada semua parti Melayu. Jika undi Melayu tersusun dan parti-parti yang tidak ekstrem mampu bekerjasama, PH-DAP boleh dikalahkan.
36. Dalam PRN Negeri Sembilan dan pilihan raya seterusnya, penyatuan PN-BN bukan lagi pilihan sampingan, tetapi satu kemestian politik.
37. Kerjasama ini perlu dibina atas asas yang lebih jelas: pertandingan satu lawan satu, kepimpinan Melayu-Islam sebagai teras kestabilan, ruang kepada parti bukan Melayu yang sederhana, dan penolakan terhadap ego parti yang akhirnya hanya menguntungkan lawan.
38. BN perlu sedar bahawa kemenangan Johor bukan semata-mata kekuatan sendiri. PN pula perlu sedar bahawa krisis dalaman hanya melemahkan jentera. PAS telah menunjukkan bahawa politik keutamaan boleh mengatasi keuntungan kerusi jangka pendek.
39. Justeru, besarlah harapan agar umat Islam dan bangsa Melayu menyedari serta menginsafi bahaya politik liberal-sosialis yang dibawa DAP-PH.
40. Jika kesedaran ini diterjemahkan kepada penyatuan strategik, maka masa depan politik Melayu-Islam masih mampu dipertahankan dengan lebih tersusun, matang dan bermaruah.

0 Comments