MUAFAKAT NASIONAL KEDAH SOKONG PERSEFAHAMAN ANTARA PN, BN

 

Oleh: Datuk Mansor Mahamood

Pengerusi Muafakat Nasional Negeri Kedah

Muafakat Nasional Perhubungan Negeri Kedah menyambut baik sebarang usaha ke arah membina persefahaman dan kerjasama yang berlandaskan kepentingan khasnya  rakyat Negeri Sembilan serta membawa kepada kestabilan politik negara.

Dalam landskap politik yang semakin mencabar, semangat muafakat antara parti-parti yang mempunyai matlamat memperjuangkan agama, bangsa dan negara wajar diterokai secara matang, berhemah dan saling menghormati.

Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha mencari titik persamaan demi masa depan Malaysia.

Muafakat Nasional Perhubungan Negeri Kedah percaya bahawa kestabilan politik merupakan asas penting kepada perpaduan semua kaum di Malaysia yang bakal membuahkan hasil pertumbuhan ekonomi, keyakinan pelabur, kesejahteraan rakyat dan kelangsungan dasar-dasar pembangunan negara.

Menyedari ke arah tersebut, Muafakat Nasional Perhubungan Negeri Kedah menggesa semua pihak agar mengutamakan semangat perpaduan, mengelakkan politik kebencian serta membuka ruang rundingan yang ikhlas demi membina sebuah gagasan yang lebih kukuh untuk menghadapi cabaran negara masa hadapan.

Apa jua bentuk persefahaman yang dicapai hendaklah berpaksikan kepada  Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) sebagai bahasa rasmi negara serta pemeliharaan hak semua kaum serta prinsip demokrasi.

Semoga usaha ke arah penyatuan dan persefahaman ini menjadi pemangkin kepada sebuah Malaysia yang lebih stabil, makmur dan bersatu demi kepentingan seluruh rakyat.

Post a Comment

0 Comments