“DEDAH BERSATU MAHU TANDING 15 KERUSI”
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai tindakan memilih untuk berpisah secara sukarela daripada Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengumuman dibuat Bersatu itu bermaksud parti berkenaan memilih untuk 'mufarakah' daripada PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, keputusan PN berhubung agihan kerusi, calon dan penggunaan lambang hanya dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN pada pagi Khamis (hari ini).
"Tindakan Bersatu mendahului keputusan Majlis Tertinggi PN adalah hak mereka dan kita harus menghormatinya.
"Keputusan itu bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana sejak bulan lalu, sebelum penamaan calon PRN Johor, kami telah dimaklumkan serta diberikan bukti secara hitam putih mengenai perancangan Bersatu untuk menghidupkan satu platform politik lain selain PN," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, Bersatu juga sejak awal secara konsisten menolak usaha penyatuan dan muafakat Melayu serta tidak bersetuju membuka PN kepada lebih banyak parti Melayu lain.
Annuar turut mendedahkan hasrat Bersatu sebelum ini yang memaklumkan secara rasmi kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN untuk bertanding di 15 kerusi pada PRN Negeri Sembilan, namun permintaan itu sukar dipenuhi memandangkan gabungan tersebut mempunyai enam parti komponen.
“Apa jua alasan digunakan untuk bertanding dengan logo sendiri, kita fahami terutama selepas Bersatu memaklumkan hasrat mahu 15 kerusi, yang sudah pasti tidak tertunai kerana PN dianggotai enam parti gabungan, serta jumlah kerusi yang kurang dari 15.
"Tidak mungkin semua kerusi mesti dibolot Bersatu. Justeru, keputusan menggunakan logo sendiri adalah terbaik bagi Bersatu dan perlu dihormati. Bersatu kini bebas untuk bertanding 15 kerusi atau lebih,” jelasnya.
Beliau tegaskan, PAS meletakkan keutamaan kepada penyatuan ummah dan bukannya jumlah kerusi ditandingi.
"Bagi PAS, penyatuan ummah kita dahulukan, bukan jumlah kerusi. Kita ucapkan selamat maju jaya kepada Bersatu," katanya.
Dalam hantaran berasingan, Annuar turut mengesahkan hanya lima daripada enam parti komponen PN menghadiri mesyuarat berkaitan PRN Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini bagi memuktamadkan agihan kerusi dan penggunaan logo.
"Mesyuarat lima parti komponen PN pagi ini memuktamadkan kerusi bertanding dan logo bakal digunakan," katanya tanpa memperincikan parti yang hadir atau jumlah kerusi yang diagihkan.
Ketika ini, PN dianggotai PAS, Bersatu, Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Pengisytiharan calon PN bagi PRN Negeri Sembilan akan diadakan malam ini di Kompleks PAS Negeri Sembilan, Kampung Ismail, Ampangan.
Pada Rabu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua calon parti itu akan bertanding menggunakan simbol Bersatu pada PRN Negeri Sembilan. Pengumuman itu dibuat sebelum berlangsungnya Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN pada pagi Khamis.

0 Comments