MANA LEBIH PENTING, LRT ATAU AIR? - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

JEMPOL - Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempersoalkan keutamaan Kerajaan Persekutuan meluluskan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM16 bilion sedangkan banyak negeri masih berdepan masalah infrastruktur bekalan air.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, peruntukan sebesar itu sepatutnya diagihkan terlebih dahulu bagi menaik taraf sistem bekalan air di negeri-negeri yang masih bergelut dengan paip usang dan gangguan bekalan.

"Mana lebih penting, LRT atau air? 

“RM16 bilion yang diberi untuk LRT bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) itu boleh diagihkan kepada negeri-negeri bagi membaiki infrastruktur bekalan air terlebih dahulu," katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting.

Menurut Sanusi, isu bekalan air masih membelenggu banyak negeri termasuk Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak, sekali gus memerlukan perhatian segera Kerajaan Persekutuan.

"Dalam setiap negeri, sekurang-kurangnya memerlukan lebih RM1 bilion untuk menukar paip-paip lama ini. Alangkah baiknya jika Kerajaan Persekutuan bersikap adil dan saksama dengan mengagihkan RM16 bilion itu bagi membaiki sistem bekalan air di seluruh negara," katanya.

Tambah beliau, di Kedah sahaja, audit yang dijalankan pada 2008 menganggarkan kira-kira RM1.6 bilion diperlukan untuk menggantikan keseluruhan rangkaian paip air yang sebahagiannya masih menggunakan paip asbestos simen sejak zaman British.

“Berapa rakyat Pulau Pinang? 1.7 juta. Berapa rakyat Kedah? 2.2 juta. Berapa Kedah dapat? RM1.6 bilion. Itupun PM ulang hari-hari, ‘Kedah saya pergi tolong’. 

“Bajet-bajet besar itu hanya untuk mengindahkan parti yang ada kuasa besar dalam kerajaan,” katanya.

Sanusi turut kesal kerana Kerajaan Persekutuan dilihat memberi tumpuan pembangunan kepada negeri-negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH), khususnya Pulau Pinang, sehingga menerima pelbagai projek berskala besar.

Menurutnya, tindakan itu didorong kepentingan politik bagi menonjolkan Pulau Pinang sebagai negeri yang lebih moden berbanding negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

"Duit bajet besar dilonggokkan ke Pulau Pinang untuk bina LRT supaya negeri itu dilihat lebih maju. Sedangkan keperluan asas seperti bekalan air di banyak negeri masih belum diselesaikan.

“Oleh kerana tamak, takut kepada DAP, nak tunjukkan negeri DAP lebih baik berbanding negeri-negeri ditadbir pembangkang, maka dilonggok semua bajet ke Pulau Pinang untuk buat LRT. 

“Jadi nampak hebat, sebab diterajui kerajaan DAP. Maka orang muda pun dimomok supaya sokong DAP jika mahu kemajuan. Itulah rancangan mereka,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu tegaskan, pendekatan tersebut tidak mencerminkan layanan adil terhadap semua negeri dan menggesa Kerajaan Persekutuan mengutamakan penyelesaian isu asas yang memberi manfaat terus kepada rakyat sebelum melaksanakan projek pengangkutan berskala besar.

Post a Comment

0 Comments