PENYATUAN PN- BN ‘KUNCI’ RAMPAS PUTRAJAYA

 

“PH SEMAKIN GUSAR DENGAN KEMARAAN KITA”

Oleh: Roslinda Hashim 

JEMPOL - Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) perlu terus memperkukuh penyatuan bermula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai langkah membuka laluan untuk menawan Melaka dan seterusnya Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, formula kemenangan gabungan itu hanya dapat dicapai menerusi perpaduan antara PAS dan UMNO tanpa lagi dibelenggu perpecahan atau kepentingan kelompok.

Menurut beliau, penyatuan tersebut perlu didasari keikhlasan demi memperjuangkan kepentingan Islam, ummah dan bangsa Melayu.

“Formula lain tak ada. Kena bersatu, PAS dan UMNO. Jangan pecah lagi. Jangan fikir kelompok kita. Fikir bangsa dan agama kita.

“Bermula di Johor, kini di Negeri Sembilan dan selepas ini Melaka. Marilah kita semua bersatu padu. Jangan berpecah belah dan jangan utamakan kelompok sendiri,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, di sini.

Sanusi berkata, Pakatan Harapan (PH) kini semakin gusar dengan perkembangan kerjasama BN-PN kerana gabungan itu berpotensi mengubah landskap politik negara sekiranya terus kekal bersatu.

“PH paling susah hati apabila kita menaikkan semangat bangsa untuk bersatu padu. Mereka risau dengan kemaraan kita, dengan syarat kita tidak berpecah belah,” katanya.

Mengimbau kerjasama Muafakat Nasional (MN), beliau berkata, kegagalan mengekalkan persefahaman sebelum ini menyebabkan kuasa politik Melayu kembali berpecah, namun peluang kedua yang diberikan ketika ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kita pernah bernikah, MN 1.0 tetapi bercerai tak lama selepas itu, masuk sikit jarum, habis berselerak. ALLAH SWT beri lagi peluang kepada kita. Jangan tutup hati lagi selepas ini. Pakatlah elok-elok, BN, PN, PAS dan UMNO bersatulah,” katanya.

Beliau turut menyeru penyokong kedua-dua gabungan supaya memberi sokongan penuh kepada calon yang bertanding.

“Di tempat BN bertanding, pakat-pakat undi BN. Di tempat PN bertanding, ramai-ramai undi PN.

“Jika menang di Negeri Sembilan, kita tabalkan wakil UMNO menjadi Menteri Besar, kita tidak ada masalah. Tetapi di Kedah nanti jangan pula minta UMNO jadi Menteri Besar,” katanya berseloroh, disambut tepukan gemuruh hadirin.

Menurut Sanusi, berdasarkan keputusan PRU lalu, PAS hanya memiliki tiga kerusi di Negeri Sembilan manakala PN memenangi lima kerusi keseluruhannya, sementara BN menguasai 14 kerusi.

Katanya, gabungan kekuatan kedua-dua blok itu mampu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah sekiranya memperoleh mandat rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, matlamat utama penyatuan bukanlah untuk merebut jawatan, sebaliknya memastikan kuasa politik Melayu dan kedudukan Islam terus diperkasakan.

“Kita tak pernah berangan-angan untuk jawatan. Asalkan ummah bersatu, bangsa tidak bercerai-berai dan agama didaulatkan, PAS sanggup meneruskan perjuangan ini.

“Sokonglah penyatuan ini untuk melihat satu era baru lahir selepas kita ambil alih Putrajaya dalam PRU16. Berilah peluang kepada penyatuan ini terus berkembang dengan memenangkan BN dan PN di Negeri Sembilan. 

“Seterusnya kita akan memikirkan, merancang, bagaimana perpaduan ini harus dilanjutkan lagi, hinggalah Melayu kembali berkuasa di negara ini,” katanya.

Mengulas kedudukan ekonomi orang Melayu, Sanusi berkata, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang diperkenalkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bagi meningkatkan pegangan ekonomi Bumiputera kepada 30 peratus masih belum mencapai sasaran walaupun selepas lebih lima dekad.

Beliau berkata, keadaan itu turut disusuli dengan penghakisan kuasa politik Melayu yang menurutnya semakin ketara akibat perpecahan kalangan orang Melayu sendiri.

“Selepas 30 tahun, kita hanya capai 18 peratus, selepas 50 tahun, kita masih pada tahap sama. Sektor politik pula, semakin hari semakin terhakis. Ia disebabkan wujudnya barua Melayu, iaitu orang-orang yang bersikap seperti watak Buang dalam filem P.Ramlee, Sarjan Hassan.

“Bangsa Melayu sendiri hentam Melayu, dedahkan keburukan Melayu menyebabkan orang bukan Islam pandang serong kepada kita. Politik liberal, plural, pragmatis ini membahayakan dan sedang berlaku. 

“Jangan alpa, jangan jadi Buang, jangan jadi barua DAP,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa golongan muda supaya tidak meminggirkan politik dan lebih peka terhadap hala tuju negara kerana sikap tidak mengambil peduli hanya akan merugikan masa depan bangsa.

“Orang muda kena ambil kesedaran, ambil peduli tentang politik. Jangan hilang minat kerana itu antara propaganda yang boleh melemahkan perhatian kita terhadap tanah air,” katanya.

Pada masa sama, Sanusi mengingatkan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP bercanggah dengan asas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu serta menggesa orang Melayu terus mempertahankan perpaduan, kedudukan Islam dan identiti bangsa.

“Bangsa Melayu ialah bangsa yang bertoleransi dan beradab. Sebab itu kita jangan lalai dan jangan terus berpecah kerana akhirnya yang rugi ialah bangsa dan negara,” katanya.

Post a Comment

0 Comments