Oleh: Ku Azizah Ku Hamid
SHENZHEN - Kedah terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan berdaya saing apabila memeterai Perjanjian Persahabatan antara Longhua District People's Government, Shenzhen dan Invest Kedah Berhad, sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama strategik dalam bidang pelaburan, teknologi, inovasi dan pembangunan industri.
Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, Kerajaan Negeri komited memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan industri, teknologi, inovasi, pembangunan bakat dan pemindahan kepakaran bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
"Perjanjian yang dimeterai pada 20 Julai lalu sempena Misi Pelaburan dan Perdagangan Kerajaan Negeri Kedah ke Republik Rakyat China, ia menjadi platform penting untuk memperluaskan hubungan rasmi antara Kedah dan Longhua, sebuah daerah yang diiktiraf sebagai antara hab utama inovasi, teknologi serta pembuatan berteknologi tinggi di Shenzhen," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perjanjian Persahabatan antara Longhua District People's Government, Shenzhen dan Invest Kedah Berhad, di China.
Pada majlis sama, Invest Kedah Berhad membentangkan potensi pelaburan negeri, manakala Majlis Perbandaran Kubang Pasu memperkenalkan pembangunan Special Border Economic Zone (SBEZ) sebagai pintu masuk strategik ke pasaran ASEAN yang dijangka menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi wilayah Utara.
Haim Hilman berkata, majlis tersebut turut menyaksikan penubuhan Greater Bay Area Investment Cooperation Office yang akan berperanan sebagai platform rasmi menghubungkan pelabur serta syarikat dari Greater Bay Area dengan peluang pelaburan di Kedah.
"Selain itu, pelancaran platform digital iGlobal dijangka memperluaskan akses Kedah kepada rangkaian perusahaan dan pelabur antarabangsa menerusi pemadanan perniagaan, perkongsian maklumat serta sokongan terhadap pelaburan rentas sempadan," katanya.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri Kedah optimis kerjasama strategik yang terus diperkasakan di peringkat antarabangsa akan meningkatkan kemasukan pelaburan berkualiti, sekali gus merangsang pembangunan modal insan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan membawa manfaat ekonomi yang mampan kepada rakyat negeri ini.
0 Comments