PN-BN teraju Putrajaya, Kedah berpotensi terima pajakan Pulau Pinang RM250 juta setahun


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kedah berpotensi menerima bayaran pajakan Pulau Pinang sebanyak RM250 juta setahun berbanding hanya RM10 juta ketika ini sekiranya gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, peningkatan bayaran pajakan itu antara manfaat yang boleh dinikmati rakyat sekiranya kerjasama PN-BN diterjemahkan kepada pembentukan sebuah Kerajaan Persekutuan yang kukuh selepas pilihan raya.

Menurut beliau, atas sebab itu kerjasama antara PN dan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mempunyai signifikan yang jauh lebih besar daripada sekadar persaingan di peringkat negeri.

“Apakah lagi yang boleh kita jangkakan sekiranya gabungan ini berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan? 

“Sudah tentu sebuah kerajaan yang kukuh dan diterajui orang Melayu membolehkan kita  melaksanakan kajian semula secara menyeluruh terhadap Tanah Rizab Melayu,” katanya.

Beliau yang kini ahli PAS berkata, kajian itu merangkumi usaha mengenal pasti kawasan yang telah dinyahwartakan, menggantikan kawasan yang hilang serta membangunkan tanah rizab secara lebih tersusun demi kepentingan generasi akan datang.

Selain itu, katanya, kerajaan juga berupaya mewujudkan dana khas bagi membangunkan sebahagian daripada 4.9 juta hektar Tanah Rizab Melayu yang dimiliki ketika ini supaya dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

Tambah beliau, gabungan tersebut turut diyakini mampu memastikan Petronas terus kekal kukuh sebagai syarikat strategik negara tanpa menjejaskan pertumbuhan dan peranannya kepada ekonomi negara.

“Lebih banyak dasar keadilan sosioekonomi yang selaras dengan tuntutan Islam juga dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar mengenai pertukaran Menteri Besar, sebaliknya menjadi medan penting untuk membentuk semula Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penyatuan serta kerjasama antara PAS dan UMNO ini sebagai satu peristiwa bersejarah yang berpotensi membuka lembaran baharu landskap politik negara.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan PN mempertaruhkan calon di 11 daripada 36 kerusi, dengan muafakat bersama BN yang bertanding di 25 kerusi DUN.

PRN Negeri Sembilan ke-16 akan diadakan pada 1 Ogos (Sabtu) dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai.
 

Post a Comment

0 Comments