BALING DIIKTIRAF HAB PELANCONGAN SUKAN BERTARAF ANTARABANGSA

 

Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR – Baling terus mengorak langkah sebagai hab pelancongan sukan bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2026 dan Tour Geo D'Kedah 2026, yang bukan sahaja memperkukuh sektor pelancongan negeri, malah menjadi pemangkin pembangunan ekonomi setempat serta platform pembangunan bakat sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato' Mohd Salleh Saidin berkata, kedua-dua acara berprestij itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mengangkat Baling sebagai destinasi pelancongan sukan yang mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2026 yang berlangsung dari 30 Julai hingga 1 Ogos bakal mencatat sejarah apabila merekodkan 4,109 penyertaan daripada 11 buah negara, sekali gus menjadikannya edisi terbesar sejak diperkenalkan empat tahun lalu. 

“Pencapaian itu membuktikan Baling semakin mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa sebagai destinasi larian denai,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganjuran The Magnificent Baling 100 dan Tour Geo D'Kedah 2026 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Mohd Salleh berkata, kejayaan itu disusuli penganjuran Tour Geo D'Kedah 2026 pada 2 hingga 6 September, yang dipilih berlangsung di Baling menerusi format perlumbaan berperingkat, sekali gus memberi peluang kepada peserta menikmati keunikan landskap, geologi dan keindahan alam semula jadi daerah berkenaan.

"Keindahan semula jadi sahaja tidak lagi mencukupi dalam persaingan industri pelancongan hari ini. Apa yang lebih penting ialah pengalaman yang dirasai peserta. 

“Melalui TMB100 dan Tour Geo D'Kedah, peserta bukan sekadar bertanding, malah membawa pulang pengalaman yang akan dikongsi ke seluruh dunia, sekali gus mempromosikan Baling dan Kedah di peringkat antarabangsa," katanya lagi.

Beliau turut menyeru seluruh warga Baling agar menjadi tuan rumah terbaik dengan memberikan layanan mesra kepada setiap peserta, pelancong dan pengunjung yang hadir bagi memastikan pengalaman mereka di daerah itu menjadi kenangan yang positif.

Post a Comment

0 Comments