TIDAK WAJAR POLITIKKAN OPERASI PENGUATKUASAAN PPR PAYA NAHU 2

 

“HANYA ROBOH BINAAN HARAM SELEPAS DIBERIKAN NOTIS”

Oleh: Roslinda Hashim 

SUNGAI PETANI - Bahagian Perumahan, Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah menegaskan operasi penguatkuasaan terhadap binaan haram di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu 2 tidak wajar dipolitikkan kerana tindakan itu dilaksanakan bagi melindungi kepentingan semua penghuni.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, Bahagian Perumahan menjelaskan operasi yang dijalankan hanya melibatkan perobohan struktur yang dibina tanpa kebenaran seperti garaj kereta, stor dan gerai haram di kawasan harta bersama, tidak melibatkan premis Tadika KEMAS.

Bahagian Perumahan turut menafikan dakwaan menampal notis penguatkuasaan pada tadika berkenaan, sebaliknya notis berkenaan telah dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan provokasi.

“Notis asal ditampal pada struktur binaan lain. Tindakan mengubah notis itu disifatkan provokasi berniat jahat yang bertujuan memburukkan imej Bahagian Perumahan SUK Kedah.

"Bahagian Perumahan tidak pernah menampal notis pada mana-mana struktur bangunan yang menempatkan agensi kerajaan. Kami tidak zalim, sebaliknya hanya menjalankan tugas penguatkuasaan mengikut peraturan ditetapkan," katanya.

Menurut kenyataan itu, tiada sebarang halangan dikenakan terhadap tadika di kawasan berkenaan untuk terus beroperasi, namun gerai yang dibina tanpa kelulusan telah diberikan notis 30 hari kepada pemilik untuk meroboh dan mengosongkan binaan tersebut.

"Kawasan tempat letak kenderaan, kaki lima dan ruang bersama di bangunan bertingkat merupakan harta bersama di bawah prinsip pengurusan strata dan tidak boleh dimiliki, diubah suai atau diduduki secara persendirian tanpa kebenaran yang sah.

"Justeru, tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan bagi memastikan keadilan kepada semua penghuni serta memelihara kepentingan bersama," kata kenyataan itu, hari ini.

Bahagian Perumahan turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penghuni yang ingkar atau gagal mematuhi syarat penyewaan serta peraturan yang ditetapkan.

“Kerjasama daripada semua penghuni dalam mematuhi syarat penyewaan serta peraturan amatlah dihargai demi kesejahteraan komuniti perumahan.

“Penguatkuasaan akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan PPR kekal selamat, bersih, teratur dan kondusif untuk didiami,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi penguatkuasaan pada Selasa itu melibatkan perobohan binaan tanpa kebenaran di kawasan parkir dan ruang kosong yang disalahguna di bawah blok PPR Paya Nahu 2 selepas tempoh notis yang diberikan kepada penghuni terbabit berakhir.

Binaan haram tersebut bukan sahaja melanggar syarat penyewaan, malah menghalang kerja penyelenggaraan serta penyampaian perkhidmatan oleh pihak berkuasa.

Notis telah dikeluarkan pada 14 Julai lalu, dengan tempoh tujuh hari kepada penghuni yang membina bangsal di kawasan parkir, manakala notis 30 hari kepada penghuni yang menjadikan ruang kosong di kaki lima sebagai stor simpanan atau ruang tambahan seperti rumah tanpa kebenaran.

Operasi itu melibatkan 12 blok, iaitu Blok A1 hingga A9 serta Blok A20, A21 dan A22, manakala tindakan sama akan diteruskan secara berperingkat ke blok-blok lain sehingga semua binaan yang melanggar syarat diambil tindakan.

Penguatkuasaan bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kuala Muda, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Daerah Kuala Muda serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Bahagian Perumahan turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat dan penghuni yang memberikan kerjasama sehingga operasi berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.

Post a Comment

0 Comments