“SAYA TAK UNGKIT KESALAHAN PENTADBIRAN LALU, TAPI JIKA TERUS DIKACAU…”

 


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau mengambil pendekatan untuk tidak terus mengungkit kesalahan pentadbiran terdahulu sejak mengambil alih Kerajaan Negeri pada Mei 2020.

Beliau sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Kedah selain menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri memilih untuk meneruskan perkara yang baik, menyelesaikan isu yang tertangguh serta merungkaikan masalah yang menghalang pembangunan negeri.

“Bila saya jadi Menteri Besar, saya ambil pendekatan tidak mengungkit kesalahan lalu dan tidak menyebut kesalahan sesiapa. Kita jalan terus (pentadbiran), mana yang molek kita sambung, yang ada masalah kita tolong selesaikan, yang terbelit kita rungkaikan,” katanya.

Bagaimanapun, Sanusi berkata, pihak pembangkang sebaliknya berterusan ‘menyerang’ dan mengkritik pentadbiran negeri sehingga memaksa pihaknya mendedahkan beberapa perkara yang berlaku sebelum ini.

“Pada mulanya kita tidak mahu buang masa mecari kesalahan orang lain. Kita mahu semai benih di tengah sawah, bawa sebanyak mungkin kebaikan kepada negeri ini. 

“Yang tidak boleh selesai kita tolong selesaikan, yang tertangguh kita beri jalan dan yang sangkut kita usaha lepaskan. Tapi mereka asyik kacau saja, jadi kita pun dedah lah satu dua perkara sebelum ini,” ujarnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, beliau mengetahui pelbagai perkara yang berlaku dalam pentadbiran terdahulu termasuk isu melibatkan pemberian tanah, namun tidak mahu mendedahkannya sewenang-wenangnya.

“Ada orang di Padang Terap ketika menjadi Exco memperoleh tanah beratus-ratus ekar, yang ini kita boleh cerita tetapi saya ambil pendekatan tidak ungkit. 

“Ada juga bekas Menteri Besar yang menerima tanah anugerah seperti saya dapat, tetapi perkara itu tidak dipersoalkan. Bila libatkan mereka, mereka senyap, bila kena pada saya, mereka bising.

“Kita tahu semua tentang itu, cuma tidak dedah sesuka hati,” katanya lagi.

Sanusi bersyukur Kerajaan Negeri kekal teguh mentadbir Kedah meskipun berdepan serangan berterusan sepanjang enam tahun lalu.

“Kita buat kerja tak merapu. Sejak enam tahun kita tadbir, mereka hentam kita tapi kita tak ‘terbalik’,” katanya. 

Dalam pada itu, tambah beliau, Kerajaan Negeri tidak pernah membezakan fahaman politik rakyat dalam penyaluran bantuan dan kebajikan.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan RM21 juta bagi program Bantuan Beras Sejahtera, RM11 juta menerusi Dana Tabung Tunku Mahmud serta RM30 juta untuk program iKafalah yang memberi bantuan khairat kematian kepada rakyat.

“Apabila kita jadi kerajaan, kita tidak pernah tanya rakyat daripada parti mana sebelum memberi bantuan,” katanya.

Sanusi tegaskan, lebih banyak manfaat mampu dibawa kepada rakyat Kedah sekiranya Kerajaan Persekutuan sealiran dengan Kerajaan Negeri.

“Kita akan bawa lebih banyak kemakmuran ke negeri ini jika Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan senada (fahaman politik). Kita hidup dengan apa yang ada dan berkongsi apa yang kita ada. Semua kaum hidup aman damai, saling membantu dan hidup dalam suasana harmoni di bawah pentadbiran PN hari ini,” katanya.

Post a Comment

0 Comments