BERSATU PERLU BERHENTI MENAFIKAN FAKTA BERKAITAN USAHA MENJATUHKAN MENTERI BESAR PERLIS

 

KENYATAAN MEDIA

KETUA PEMUDA PAS PERLIS

Oleh: Haziq Asyraf Dun

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis & ADUN Beseri

1. Saya merujuk kepada kenyataan Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertarikh 24 Mei 2026 yang mendakwa tuduhan bahawa ADUN-ADUN Bersatu telah menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis daripada PAS adalah tidak benar.

2. Kenyataan penafian tersebut turut disusuli oleh beberapa pimpinan Bersatu yang menegaskan bahawa ADUN-ADUN Bersatu tidak pernah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi tujuan menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS.

3. Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan bercanggah dengan pengakuan yang telah dibuat sendiri oleh tiga ADUN PAS yang kemudiannya terhenti keahlian.

4. Dalam satu pertemuan bersama Dewan Harian PAS Pusat pada 21 Disember 2025 yang turut dihadiri oleh semua ADUN PAS Perlis, tiga ADUN terbabit secara terbuka mengakui bahawa mereka telah menandatangani SD bersama ADUN-ADUN Bersatu. Pengakuan tersebut bukan sahaja didengari oleh para hadirin, malah telah direkod dan diminitkan dalam perbincangan tersebut.

5. Justeru, adalah menghairankan apabila Bersatu terus memilih untuk menafikan perkara yang telah diakui sendiri oleh individu-individu yang terlibat secara langsung dalam usaha tersebut.

6. Dewan Pemuda PAS Perlis berpegang kepada fakta dan rekod yang wujud. Isu ini bukan lagi soal persepsi atau dakwaan politik, tetapi berkaitan pengakuan yang telah dibuat dalam satu pertemuan rasmi.

7. Saya kesal dengan tindakan Bersatu yang terus-menerus menafikan peranan ADUN-ADUN mereka dalam merancang usaha menjatuhkan Menteri Besar Perlis daripada PAS. Penafian berulang kali terhadap fakta yang telah direkodkan hanya akan memanjangkan kemelut dalam Perikatan Nasional. 

8. Demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerjasama politik yang dibina atas dasar kejujuran dan amanah, semua pihak seharusnya berani berterus terang serta bertanggungjawab terhadap tindakan yang telah dilakukan.

Sekian, terima kasih.



3 Jun 2026

Post a Comment

0 Comments