PULAU PINANG ANUGERAHKAN PROJEK TAMBAK 70 EKAR BERNILAI RM1.83 BILION TANPA KEJELASAN TENDER TERBUKA: CEMARI IMEJ INTEGRITI DAP

 

Oleh: Dr. Khalid Hamka

Penganalisa Politik

Isu projek penambakan tanah seluas 70 ekar di hadapan Karpal Singh Drive kini menjadi perhatian ramai apabila timbul persoalan sama ada projek yang berpotensi bernilai RM1.83 bilion itu dianugerahkan tanpa melalui proses tender terbuka yang telus dan kompetitif.

Lebih menarik, persoalan ini bukan sahaja dibangkitkan oleh pihak pembangkang, malah turut disentuh oleh Lim Guan Eng sendiri yang meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan berhubung status tender projek tersebut. Perkembangan ini menunjukkan bahawa isu yang timbul bukan lagi sekadar serangan politik, sebaliknya menyentuh soal prinsip tadbir urus dan integriti pentadbiran yang selama ini menjadi identiti utama DAP.

Sejak mengambil alih Pulau Pinang pada tahun 2008, DAP dan Pakatan sering menjadikan konsep CAT (Competency, Accountability and Transparency) sebagai asas pentadbiran negeri. Antara manifestasi paling ketara kepada konsep tersebut ialah pelaksanaan tender terbuka bagi projek-projek kerajaan. Malah selama bertahun-tahun, tender terbuka dijadikan simbol perbezaan antara pentadbiran DAP dengan kerajaan-kerajaan terdahulu yang sering dikritik kerana amalan rundingan terus.

Namun dalam isu projek penambakan 70 ekar ini, jawapan yang diberikan kerajaan negeri setakat ini hanya merujuk kepada proses RFP bagi projek pemulihan tapak pelupusan sampah Jelutong seluas 84 ekar. Persoalan sebenar yang ditimbulkan ialah sama ada projek penambakan 70 ekar di hadapan Karpal Singh Drive itu sendiri melalui proses tender terbuka atau tidak.

Jika tender terbuka benar-benar dilaksanakan, perkara tersebut sepatutnya mudah dibuktikan. Kerajaan negeri hanya perlu mendedahkan tarikh iklan tender, nombor tender, syarikat-syarikat yang mengambil bahagian serta syarikat yang berjaya dipilih. Ketiadaan maklumat sedemikian hanya mengundang lebih banyak persoalan dan spekulasi.

Apa yang menjadikan isu ini lebih serius ialah nilai ekonominya yang sangat besar. Dengan keluasan 70 ekar bersamaan lebih 3 juta kaki persegi dan anggaran nilai pasaran RM600 sekaki persegi, tanah yang terhasil daripada penambakan itu berpotensi bernilai sekitar RM1.83 bilion. Pada masa yang sama, kos penambakan dianggarkan jauh lebih rendah berbanding nilai akhir tanah yang diperoleh. Jurang nilai yang begitu besar menjadikan keperluan terhadap ketelusan dan persaingan terbuka semakin penting bagi memastikan kepentingan rakyat dan negeri benar-benar terpelihara.

Kontroversi ini juga muncul ketika beberapa isu lain berkaitan tadbir urus sedang menghimpit DAP. Sebelum ini timbul perbahasan mengenai projek LRT Pulau Pinang bernilai RM8.4 bilion yang diberikan melalui kaedah yang dipertikaikan, selain pelbagai dakwaan berkaitan pelantikan politik dan pengurusan kuasa dalam parti. Apabila satu demi satu persoalan berkaitan integriti dan ketelusan muncul, ia secara tidak langsung memberi kesan kepada imej moral yang selama ini cuba dipertahankan oleh DAP.

Hakikatnya, rakyat tidak mempertikaikan keperluan pembangunan atau pelaburan. Apa yang dituntut ialah proses yang adil, telus dan boleh dipertanggungjawabkan. Semakin besar nilai sesuatu projek, semakin tinggi tuntutan rakyat terhadap ketelusan proses pemberiannya.

Justeru, kerajaan negeri Pulau Pinang perlu tampil memberikan penjelasan yang lengkap dan meyakinkan. Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja akan menimbulkan keraguan terhadap projek penambakan tersebut, malah boleh mencemarkan imej integriti dan prinsip tender terbuka yang sekian lama menjadi modal politik utama DAP.

Post a Comment

0 Comments