Oleh: Roslinda Hashim
KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada pilihan raya tersebut.
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN akan memasuki gelanggang pilihan raya ini dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Menurut beliau, seluruh kepimpinan, jentera dan ahli parti komponen PN perlu memberikan tumpuan penuh terhadap persiapan menghadapi PRN Johor dengan semangat kebersamaan, disiplin dan kesatuan tindakan.
“Pilihan raya bukan sekadar medan pertandingan politik, sebaliknya platform untuk menawarkan penyelesaian terbaik kepada rakyat terutama berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi negeri, integriti pentadbiran serta masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan seluruh jentera parti supaya mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan unsur yang boleh mencetuskan perpecahan kalangan masyarakat.
Sebaliknya, Ahmad Samsuri mahu kempen pilihan raya menampilkan pendekatan politik yang lebih tenang, berfakta dan berorientasikan penyelesaian terhadap isu dihadapi rakyat.
Tambah Naib Presiden PAS itu, PN komited untuk terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi memastikan masa depan Johor serta Malaysia berada pada landasan yang lebih baik.
“Insya-ALLAH, dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, Perikatan Nasional akan terus memperjuangkan agenda tersebut demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” katanya.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Pembubaran DUN diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya pada Isnin, selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pada PRN Johor ke-15 (Mac 2022), Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi. PN pula memenangi tiga kerusi.
PRN15 JOHOR
BN 40 KERUSI DUN - UMNO (33), MCA (4), MIC (3)
PH 12 KERUSI DUN - DAP (10), PKR (1), AMANAH (1)
PN 3 KERUSI DUN - BERSATU (2), PAS (1)
MUDA 1 KERUSI DUN

0 Comments