GABUNGAN PAS UMNO FORMULA MUDAH KUASAI PUSAT

 

"PARTI SERPIHAN SUKAR BERTAHAN"

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Hanya dua parti Melayu-Islam, PAS dan UMNO masih memiliki kekuatan akar umbi yang kukuh, manakala parti-parti serpihan dilihat sukar bertahan sekiranya bertanding secara solo tanpa kerjasama atau gabungan politik.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, realiti politik semasa menunjukkan parti-parti serpihan tidak mempunyai kekuatan mencukupi untuk bersaing secara bersendirian dalam pilihan raya.

Menurutnya, pengalaman lalu membuktikan parti-parti tersebut berdepan kesukaran mendapatkan sokongan sehingga berisiko kehilangan deposit sekiranya bertanding tanpa sokongan gabungan yang lebih besar.

“Kalau bertanding secara solo tanpa kerjasama dengan parti lebih besar atau tanpa menyertai gabungan, dijamin hilang deposit.

“Jika tidak percaya, boleh lihat sendiri apa yang berlaku pada PRU15 apabila Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) mencuba pendekatan tersebut. Jika masih tak percaya, cubalah dalam PRU16 nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah berkata, PAS dan UMNO kekal sebagai dua parti Melayu-Islam yang mempunyai jaringan akar umbi paling kuat, namun UMNO dilihat berdepan cabaran dalaman apabila sebahagian besar ahlinya tidak bersetuju dengan kepimpinan semasa serta kerjasama politik yang dijalinkan.

“UMNO dilihat agak lemah sekarang kerana majoriti ahli-ahlinya menolak kerjasama antara Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) serta DAP,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpandangan pembentukan kerajaan Melayu-Islam yang mampu memperoleh majoriti mutlak dalam pilihan raya memerlukan kerjasama antara PAS dan UMNO, selain penyertaan parti-parti lain kecuali DAP.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu dilihat sukar direalisasikan dalam keadaan politik semasa.

“Cuma mungkin agak mustahil buat masa ini,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa kewujudan lebih banyak parti Melayu menyebabkan perpecahan kalangan orang Melayu, beliau berkata, fenomena penubuhan parti serpihan bukanlah sesuatu yang baharu dalam landskap politik negara.

Menurutnya, pelbagai parti pernah muncul hasil perpecahan daripada parti induk termasuk Semangat 46, PKR, Berjasa, HAMIM, INSAN, Ikatan, Amanah, Bersatu, Putra, Pejuang dan terbaharu, Bersama.

“Saya tidak merasakan orang Melayu berpecah kerana parti politik. Kehidupan masyarakat di kampung-kampung aman damai dan harmoni.. Masyarakat hari ini bukan seperti era 1970-an dan 80-an dulu.

“Sebaliknya, pertelagahan banyak berlaku di media sosial hasil provokasi pihak tertentu (ceplos) yang buat kerja kerana upah. Khabarnya, sekali komen diberi upah dan jadi sumber pendapatan untuk sara keluarga. 

“Ia tidak mencerminkan keseluruhan rakyat Malaysia yang berfikiran rasional serta terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli percaya kemunculan parti-parti politik baharu dijangka terus mewarnai landskap politik negara apabila terdapat khabar angin mengenai penubuhan sebuah lagi parti politik pada bulan depan.

Perkembangan itu dilihat menambahkan lagi jumlah parti politik sedia ada, khususnya di Semenanjung yang kebelakangan ini menyaksikan kemunculan beberapa parti serpihan daripada parti-parti utama.

“Ada lagi parti politik dijangka muncul bulan depan. Itu cerita parti politik di Semenanjung. Di Sabah, lebih ketara lagilah, bersepah parti serpihan di sana,” katanya.

Post a Comment

0 Comments