Oleh: Afnan Hamimi Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
1. Seorang pemimpin mahasiswa UITM bernama Nik Alif Aiman mendakwa dirinya dikasari oleh seorang tokoh politik UMNO.
2. Tokoh itu adalah seorang mantan Ahli Dewan Negara yang juga merupakan seorang Ketua UMNO Bahagian di salah sebuah negeri.
3. Mahasiswa berkenaan difahamkan adalah YDP MPP UITM yang juga merupakan cucunda kepada Almarhum Tok Guru Nik Aziz.
4. Berdasarkan video penjelasan daripada Nik Alif Aiman di Tiktok, insiden itu berlaku dalam satu program ceramah anjuran UITM bertempat di Institut Latihan milik UMNO di Janda Baik, Pahang. Ketika selesai sesi bergambar setelah tamat ceramah yang disampaikan oleh pemimpin UMNO berkenaan, Nik Alif bertegur sapa dengan pemimpin UMNO tersebut.
5. Apabila diberitahu bahawa Nik Alif adalah cucu kepada Almarhum Tok Guru Nik Aziz, berlaku dialog ringkas antara kedua-duanya yang berkaitan politik. Ketika itulah Nik Alif mendakwa pipi kirinya ditampar oleh pemimpin UMNO tersebut. Tidak lembut dan tidak kuat, tetapi cukup untuk membuatkan kepalanya bergerak.
6. Pemimpin UMNO tersebut memberikan penjelasan bahawa dia hanya menyentuh pipi Nik Alif Aiman sebagai tanda mesra. Penjelasan ini tidak boleh diterima akal. Tidak munasabah seseorang yang baru kali pertama bersua muka tiba-tiba menyentuh pipi sebagai tanda mesra. Kalau bersalaman, itu biasa dan munasabah.
7. Nik Alif Aiman diberitakan telah membuat laporan polis mengenai insiden ini. Beliau selaku mangsa rasa terhina dan terjejas maruahnya dengan perbuatan pemimpin UMNO tersebut. Apatah lagi insiden itu berlaku dikhalayak ramai dalam satu majlis rasmi universiti.
8. Saya percaya tindakan pemimpin UMNO tersebut tidak mewakili UMNO. UMNO perlu segera serius menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin UMNO berkenaan. Insiden ini melibatkan pemimpinnya, dan berlaku dalam premisnya.
9. Mahasiswa tidak patut dikasari sedemikian. Nik Alif Aiman tidak perlu ditampar atau ‘disentuh mesra’ pipinya. Nik Alif Aiman dan mahasiswa lain perlu dihormati, walau apa warna bendera politik dan kecenderungan mereka.
10. Nik Alif Aiman ada maruah. Maruah diri. Maruah keluarga. Maruah itu bukan barang lelongan di pasar malam yang boleh disentuh apatah lagi ditampar di khalayak ramai.
11. Jika pemimpin UMNO berkenaan mempunyai maruah, beliau perlu buat permohonan maaf kepada Nik Alif Aiman dan keluarga sebagai tanda menyesali perbuatannya.
2 Jun 2026

0 Comments