MENGHENTIKAN KERJASAMA POLITIK BUKAN MEMUTUSKAN SILATURAHIM

Oleh: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden PAS 

Keputusan PAS menghentikan kerjasama politik bukan bermaksud memutuskan hubungan dan silaturahim. 

Keputusan ini dibuat bagi memberi ruang kepada PAS dan BERSATU menentukan hala tuju parti masing-masing tanpa terikat antara satu sama lain.

Walaupun kerjasama politik terhenti, persahabatan dan ukhuwah tidak seharusnya terputus.

Pengalaman kerjasama PAS dengan BERSATU sebelum ini memperlihatkan wujudnya pelbagai kesukaran dan kekangan, khususnya apabila PAS berusaha menjemput Ahli Parlimen atau pimpinan daripada pasukan Dato’ Sri Hamzah ke program-program anjuran PAS. 

Sebagai contoh, tindakan PAS Melaka menjemput YB Mas Ermieyati, Ahli Parlimen BERSATU, dalam program PAS tidak disenangi oleh rakan-rakan daripada BERSATU.

Justeru, jika penjemputan seperti itu pun sudah menimbulkan rasa tidak selesa, apatah lagi jika ia melibatkan pasukan yang dikenali sebagai RESET untuk duduk bersama dalam gerak kerja Perikatan Nasional.

Selain itu, usaha untuk menyatukan parti-parti lain seperti BERJASA, PEJUANG dan PERKASA ke dalam PN turut menemui jalan buntu akibat bantahan BERSATU. 

Mungkin BERSATU khuatir penerimaan parti-parti ini akan membuka ruang kepada bekas pimpinan mereka untuk menyelinap masuk melalui parti-parti tersebut.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Tambahan pula, tindakan BERSATU di Perlis dan Negeri Sembilan, serta kenyataan provokatif sebahagian pemimpin BERSATU yang menyerang PAS secara terbuka, semakin kerap berlaku.

PAS akhirnya tidak mempunyai pilihan lain melainkan membawa isu kerjasama ini kepada Majlis Syura. Hasil kajian dan mesyuarat yang dibuat, Majlis Syura telah mengemukakan pandangannya untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa PAS Pusat.

Maka, setelah melalui perbincangan yang panjang, PAS membuat keputusan secara sebulat suara untuk menghentikan kerjasama dengan BERSATU. 

Kesepakatan mendukung keputusan parti ini terzahir melalui laungan takbir yang bergema di dalam dewan mesyuarat sebaik keputusan tersebut diumumkan.

Keputusan ini bukan bermaksud PAS utamakan permusuhan. Penghentian kerjasama politik ini merupakan ruang kebebasan bagi setiap parti untuk menentukan hala tuju masing-masing.

Hubungan dan ukhuwah antara ahli serta pimpinan kedua-dua parti akan terus terjalin dan terpelihara.

Saya berharap agar kita akan terus bersatu demi kebaikan ummah.


10 Jun 2026

Post a Comment

0 Comments