Oleh: Ummi Zakiah Tukiran
Ketua Dewan Muslimat PAS Johor
Melihat kepada perkembangan terbaharu, suka untuk saya mencoretkan sedikit pandangan buat tatapan sahabat-sahabat seperjuangan, khususnya rakan-rakan daripada BERSATU & SRIKANDI yang pernah bersama dalam satu saf sebelum ini.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada seluruh saf kepimpinan ahli BERSATU & SRIKANDI atas ruang kerjasama dan gandingan bahu yang telah terjalin.
Segala pengalaman, suka duka dan ujian sepanjang bahtera ini berlayar telah memberi kami sarat pengajaran yang sangat berharga. Pengalaman inilah yang mematangkan urusan dan tindakan kita pada hari ini.
Meskipun kita diuji dengan pelbagai dinamika dan badai politik yang mencabar, alhamdulillah, hubungan peribadi dan saf perjuangan yang terjalin tetap kekal harmoni.
Kita membuktikan bahawa perbezaan pendapat bukanlah alasan untuk bermusuhan. Kita memilih untuk sentiasa mengekalkan tali ukhuwah dengan menjaga lisan, memelihara adab, dan saling menghormati antara satu sama lain.
Mulai hari ini, walaupun takdir politik membawa kita memilih jalan dan wadah yang berbeza, prinsip dasar kita tidak pernah berubah.
Politik hanyalah wasilah (perantaraan), namun destinasi kita untuk memperjuangkan kebaikan dan menegakkan syiar agama tetap sama. Di atas jalan agama ini, kita tetap kekal bersama dan saling mendoakan.
Semoga sahabat-sahabat BERSATU & SRIKANDI terus maju jaya dalam perjuangan.
Semoga ukhuwah yang terbina atas paksi iman ini terus mekar tanpa dibatasi oleh sempadan politik. Insya-Allah.
#PRNJohor
#PRN
#DMPNJ

0 Comments