Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyifatkan keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai langkah tepat bagi memperkukuh agenda penyatuan ummah yang menjadi teras perjuangan parti itu sejak sekian lama.
Ketua DUPP, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, gagasan penyatuan ummah merupakan formula politik yang lebih ampuh untuk berdepan naratif politik Pakatan Harapan (PH) dan DAP, selain perlu digerakkan secara berterusan bagi memperkukuh kesiapsiagaan jentera menghadapi pilihan raya.
Menurutnya, kerjasama politik yang terjalin sebelum ini didapati tidak menatijahkan kepada penyatuan ummah yang lebih besar, malah berdepan beberapa halangan tertentu.
“Apabila kerjasama politik ini tidak menatijahkan kepada penyatuan ummah yang lebih besar, maka pendirian yang dinyatakan oleh PAS Pusat ini hadir tepat pada masanya.
“Agenda penyatuan ummah wajar digerakkan secara konsisten apatah lagi kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya yang lebih strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena ini, kerjasama PAS dan BERSATU sebelum ini berasaskan konsep ta’awun siyasi yang bertitik tolak daripada prinsip tolong-menolong atas dasar kebaikan.
“Prinsip ini seharusnya menjadi dukungan utama kepada agenda teras PAS, iaitu gagasan penyatuan ummah yang diperjuangkan secara konsisten sejak sekian lama,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Ahmad menyeru seluruh anggota dan pendukung perjuangan PAS supaya menerima keputusan tersebut dengan jiwa besar serta meyakini keputusan itu selari dengan prinsip perjuangan Islam.
“PAS tidak akan berundur, bahkan akan terus melangkah lebih gagah, insya-ALLAH,” katanya.
Tegas beliau, DUPP menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian PAS Pusat yang memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU.
Menurut beliau, keputusan tersebut selaras dengan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang menyatakan hasrat untuk mengkaji semula hubungan politik dengan parti berkenaan.
Pada Isnin, PAS Pusat mengumumkan keputusan menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta.
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Susulan keputusan menghentikan kerjasama dengan BERSATU, PAS akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu demi penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Abdul Hadi, PAS juga bersikap terbuka untuk menerima hasrat daripada tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, serta aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu.

0 Comments