Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mengamalkan pendekatan terbuka dan mesra pelabur dengan mengalu-alukan pandangan serta kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat direalisasikan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kejayaan Kedah dapat dicapai apabila kerajaan, sektor swasta dan rakyat bergerak seiring dalam satu pasukan yang sama.
Menurut beliau, ia juga bagi memastikan Kedah dapat memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelaburan utama rantau ini menerusi gagasan The Greater Kedah dan Pelan Pembangunan Kedah 2035, yang memberi tumpuan kepada sektor strategik pembuatan berteknologi tinggi, ekonomi digital, logistik, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan sempadan.
“Antara projek pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri ialah pembangunan Koridor Ekonomi dan Logistik Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ) seluas 11,000 ekar yang strategik sebagai pintu masuk utama antara Malaysia-Thailand.
“SBEZ merangkumi projek utama seperti Kedah Science & Technology Park (KSTP) dan Kota Perdana SBEZ yang bakal mengubah landskap ekonomi kawasan sempadan serta memperkukuh kedudukan Bukit Kayu Hitam sebagai gerbang perdagangan kawasan sempadan.
“Secara keseluruhannya, pembangunan Koridor Sempadan Bukit Kayu Hitam dijangka mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan baharu serta menyumbang RM72.7 bilion kepada ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-90 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Kedah (KCCCI) serta Ulang Tahun Ke-14 Bahagian Belia KCCCI, di sini.
Sanusi berkata, Kerajaan Negeri akan memperluaskan lagi pembangunan Kulim Industrial Corridor (KIC) di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) berikutan permintaan semakin meningkat daripada pelabur domestik dan antarabangsa.
“Kesemua pembangunan ini membuka peluang besar kepada pelabur serta komuniti perniagaan.
Komuniti perniagaan Cina melalui KCCCI mempunyai peranan penting membantu mempromosikan peluang pelaburan, menarik pelabur asing, membangunkan modal insan serta memperkukuh daya saing ekonomi negeri ini.
“Saya harap usahawan membuat persediaan dari sekarang, memperkukuh kapasiti syarikat, melahirkan lebih ramai usahawan muda serta meneroka sektor baharu yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan masa hadapan,” ujarnya.
Kerajaan Negeri turut menghargai sumbangan komuniti usahawan Cina yang merupakan antara tonggak pertumbuhan ekonomi negeri menerusi penglibatan mereka dalam sektor perdagangan, pembuatan, logistik, pembinaan dan perkhidmatan.
“Ia menyumbang kepada peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan rakyat serta kemajuan ekonomi Kedah.
“KCCCI juga aktif dalam misi perdagangan ke luar negara, menyertai pameran perdagangan tempatan dan antarabangsa serta membuka peluang jaringan perniagaan baharu. Ia bukan sahaja manfaatkan komuniti perniagaan Cina, malah memperkenalkan potensi ekonomi Kedah kepada luar,” jelasnya.
Menurut Sanusi, budaya kerja yang kuat, disiplin tinggi, keberanian mengambil risiko serta kebijaksanaan mengurus kewangan selain rangkaian rentas sempadan, antara faktor kejayaan komuniti perniagaan Cina yang wajar dicontohi.
“Saya harap pengalaman, kepakaran dan budaya keusahawanan itu dapat dikongsi bersama usahawan kaum lain. Dalam dunia semakin terbuka dan saling bergantung, kejayaan tidak boleh dicapai secara bersendirian.
“Apabila usahawan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain saling belajar antara satu sama lain, berkongsi ilmu, pengalaman serta kepakaran, kita mampu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya, selain membesarkan keseluruhan kek ekonomi Kedah.
“Matlamat kita memperluaskan peluang, mencipta nilai baharu dan menjana kemakmuran lebih besar untuk rakyat,” katanya.
Sanusi turut memuji hubungan erat KCCCI dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Kedah serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kedah dalam memperkukuh kerjasama komuniti perniagaan.
“Semangat dan nilai-nilai baik dalam budaya perniagaan dan keusahawan masyarakat Cina yang beri penekanan kepada pembinaan rangkaian berasaskan kepercayaan, bantu membantu dan hubungan jangka panjang dapat diterapkan kepada usahawan lain.
“Semangat kerjasama merentasi kaum dan komuniti perniagaan ini asas kepada kestabilan ekonomi serta keharmonian sosial yang kita nikmati, perkukuhkan untuk kita bina komuniti nasional lebih baik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sanusi berkata, KCCCI memainkan peranan signifikan dalam memajukan ekonomi Kedah sejak penubuhannya sekitar tahun 1930-an.
Katanya, sepanjang sembilan dekad, KCCCI bukan sahaja menjadi pemangkin pertumbuhan perdagangan dan perindustrian negeri, malah berfungsi sebagai jambatan menghubungkan sektor swasta dengan kerajaan dalam merancakkan pembangunan ekonomi.

0 Comments