Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Cadangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘Hub Hiburan Asia’ perlu dinilai secara menyeluruh kerana ibu negara seharusnya dibangunkan sebagai pusat ilmu, kewangan, inovasi dan peradaban yang mampu memacu masa depan negara.
Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sesebuah negara tidak diukur melalui kemeriahan industri hiburan semata-mata, sebaliknya berdasarkan kekuatan ekonomi, ilmu pengetahuan, nilai serta pengaruh tamadun yang dibina.
Menurutnya, walaupun industri hiburan mempunyai sumbangan tersendiri kepada ekonomi negara, menjadikannya sebagai identiti utama Kuala Lumpur bukanlah aspirasi terbaik untuk generasi akan datang.
“Sebagai ibu negara, Kuala Lumpur bukan sekadar bandar raya. Ia adalah wajah negara, simbol identiti kebangsaan dan cerminan cita-cita masa depan bangsa.
“Kota besar dunia tidak dibina atas hiburan semata-mata. New York dikenali pusat kewangan dunia melalui Wall Street. London terkenal sebagai pusat kewangan, pendidikan dan diplomasi antarabangsa, Singapura sebagai hab perdagangan dan kewangan global.
“Tokyo pula menjadi simbol kemajuan teknologi dan inovasi. Tiada negara maju menjadikan hiburan sebagai identiti utama pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Haim Hilman berkata, kedudukan strategik Kuala Lumpur di tengah-tengah rantau ASEAN dengan lebih 680 juta penduduk memberi peluang besar kepada Malaysia untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan intelektual serantau.
“Malaysia perlu mempunyai cita-cita lebih besar daripada sekadar menjadi destinasi konsert dan hiburan serantau,” ujarnya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu, negara perlu berani meletakkan sasaran lebih tinggi seperti menjadi pusat kewangan Islam terbesar dunia, hab penyelidikan dan inovasi, serta destinasi utama pelaburan teknologi berimpak tinggi.
“Mengapa mahu dikenali kerana konsert sedangkan kita boleh dikenali kerana universiti, penyelidikan dan inovasi? Mengapa mahu menarik pelancong beberapa malam sedangkan kita boleh menarik pelabur, saintis dan syarikat global untuk beberapa dekad,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pembangunan yang terlalu berorientasikan hiburan berpotensi membawa cabaran sosial termasuk budaya hedonisme, penyalahgunaan dadah, perjudian, alkohol dan pelbagai gejala sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.
“Kemajuan tidak semestinya meniru membuta tuli model pembangunan negara lain,” katanya.
Sehubungan itu, tegas beliau, Malaysia perlu terus membangunkan negara mengikut acuan sendiri berteraskan nilai agama, budaya ketimuran dan institusi keluarga tanpa mengorbankan identiti nasional.
Haim Hilman berpandangan Kuala Lumpur berpotensi muncul sebagai pusat kewangan Islam global, pusat pengurusan dana antarabangsa, hab fintech dan pelaburan ASEAN yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Selain itu, beliau mencadangkan ibu negara dibangunkan sebagai ‘Knowledge Capital of Asia’ menerusi pemerkasaan universiti, pusat penyelidikan dan ekosistem inovasi yang mampu menarik bakat terbaik dunia.
“Bandar yang dipenuhi universiti, pusat penyelidikan dan inovasi akan melahirkan modal insan yang mampu memimpin masa depan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Kuala Lumpur juga berpotensi menjadi pusat teknologi dan kecerdasan buatan (AI) Asia Tenggara dengan menarik pelaburan dalam sektor pusat data, semikonduktor dan teknologi digital yang menawarkan nilai ekonomi lebih mampan, berbanding industri hiburan.
“Kuala Lumpur juga boleh dibangunkan sebagai pusat diplomasi dan keamanan Asia dengan memposisikan ia sebagai lokasi rundingan keamanan, dialog antara agama, forum antarabangsa dan diplomasi serantau. Ini akan meningkatkan pengaruh Malaysia di pentas dunia,” katanya.
Haim Hilman berkata, Kuala Lumpur juga berpotensi menjadi kota peradaban Islam moden, menggabungkan kemajuan ekonomi halal dengan nilai kemanusiaan dan tamadun.
“Bangsa yang besar bukan dikenang kerana konsert dianjurkan, tetapi kerana tamadun yang dibina. Sejarah tidak mengingati sesebuah negara kerana lampu pentasnya, tetapi kerana pemikiran, kepimpinan dan sumbangannya kepada manusia sejagat.
“Kuala Lumpur harus berdiri sebagai kota ilmu, kota kewangan, kota inovasi, kota diplomasi dan kota peradaban. Itu yang lebih layak untuk Kuala Lumpur,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan, Kuala Lumpur bersedia muncul sebagai hab utama industri hiburan serantau menerusi komitmen kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepat proses kelulusan acara bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta memudah cara proses permohonan bagi memastikan ibu negara menjadi pilihan pemain industri global, dengan mengambil contoh penganjuran Festival Air yang sebelum ini menjana RM320 juta kepada ekonomi negara.

0 Comments