KILANG BOEING COMPOSITES MALAYSIA DI KEDAH DIPERBESAR, BUKTI KEPERCAYAAN PELABUR ANTARABANGSA


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Syarikat Boeing Composites Malaysia (BCM) memperluaskan kemudahan pembuatannya di Bukit Kayu Hitam sekaligus membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa itu terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah serta potensi ekonomi negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, BCM merupakan antara rangkaian pengeluaran global Boeing yang menghasilkan komponen utama pesawat termasuk struktur sayap untuk pesawat komersial syarikat penerbangan terkemuka dunia itu.

Menurut beliau, pengembangan kilang bertaraf dunia itu sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak yang mempertikaikan kemampuan PAS mentadbir negeri dan menarik pelaburan asing.

“Boeing dan Airbus merupakan dua pengeluar pesawat paling terkenal di dunia. Boeing mempunyai kilang di seluruh dunia dan salah satu kemudahan pentingnya terletak di Kedah.

“Ketika kita mentadbir negeri ini, mereka membuat keputusan untuk perbesarkan lagi kilang sedia ada di Bukit Kayu Hitam.

“Ada pihak label PAS sebagai parti Tok Lebai, tak reti jadi kerajaan dan tak pandai memerintah. Nampaknya gaya pentadbiran Tok Lebai inilah yang membuatkan pelabur luar negara berduyun-duyun masuk dan buka kilang di sini,” katanya. 

Sanusi berkata, kemasukan pelabur asing secara berterusan telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat negeri ini selain meningkatkan hasil ekonomi melalui cukai dan aktiviti perniagaan.

“Pelabur dari luar negara bukan sahaja membayar cukai di sini malah menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak kita dengan pendapatan lebih baik,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan Kedah menarik pelaburan asing turut mengundang rasa kurang senang kalangan pihak tertentu sehingga timbul pelbagai dakwaan dan fitnah bagi memburukkan imej negeri.

“Saya harap pelabur dan rakyat sentiasa berpegang kepada maklumat yang benar. Ada pihak yang membuat pelbagai tuduhan, namun kita memilih untuk tidak melayan kerana kerajaan sedang sibuk memacu pembangunan negeri ini.

“Maklumat yang benar tentang kerajaan datangnya daripada kerajaan. Maklumat yang benar tentang kerajaan bukan datang dari ceplos atau cyber trooper UMNO,” katanya. 

Sanusi berkata, jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke Kedah sejak ditadbir kerajaan Perikatan Nasional (PN) bermula tahun 2020 mengatasi pencapaian yang direkodkan dalam tempoh beberapa dekad sebelum itu.

“Dalam tempoh 50 tahun sebelum 2020 berbanding lima tahun selepas 2020, jumlah pelabur yang masuk ke negeri ini mengatasi tempoh 50 tahun itu. 

“Dengan ikhtiar, usaha dan doa seluruh rakyat, negeri ini akan terus diberkati dan lebih banyak pelaburan akan datang ke Kedah pada masa hadapan.

“Akan muncul lagi rezeki tidak disangka-sangka, pelabur akan datang berduyun-duyun,” katanya.

Pada 10 Jun, Sanusi menerima kunjungan hormat delegasi Boeing Composites Malaysia yang diketuai Pengarah Urusannya, Faisal Sraieldin di Wisma Darul Aman.

Sebelum ini, Boeing melancarkan semula kilang pembuatan komponen pesawatnya sebagai Boeing Composites Malaysia (BCM) di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP), Bukit Kayu Hitam pada 29 Ogos 2024, selepas mengambil alih sepenuhnya Aerospace Composites Malaysia Sdn. Bhd. (ACM) pada Disember 2023.

Kemudahan tersebut membekalkan produk komposit dan subpemasangan bagi semua model pesawat komersial Boeing termasuk 737 MAX dan 787 Dreamliner serta menjadi kemudahan pembuatan milik penuh pertama Boeing di Asia Tenggara.

BCM menggaji kira-kira 1,000 pekerja yang kesemuanya rakyat Malaysia, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Kedah sebagai hab industri aeroangkasa yang semakin berkembang di rantau ini.

Penjenamaan semula ACM kepada BCM juga telah menjadikan Kedah sebagai fasiliti pembuatan pertama Boeing yang dimiliki sepenuhnya oleh Boeing di Asia Tenggara.
 

Post a Comment

0 Comments