Oleh: Fadhli Shaari
Ketua Penerangan PAS Pusat
Saya membaca kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan hasrat untuk terus mengekalkan hubungan baik dengan PAS dalam Perikatan Nasional.
Saya tidak meragui keikhlasan Tan Sri Muhyiddin dalam menyatakan pendirian tersebut. Namun, hubungan politik yang dibina atas nama persefahaman dan kepercayaan tidak boleh hanya dinilai berdasarkan kenyataan yang baik. Ia juga perlu diukur melalui tindakan yang berlaku ketika berdepan saat-saat yang paling kritikal.
Dalam isu Perlis, sehingga hari ini ramai masih tertanya-tanya mengapa BERSATU begitu tergesa-gesa menghantar nama calon Menteri Besar daripada parti itu. Pada waktu itu, adakah hubungan baik dengan PAS benar-benar diambil kira?
Jika alasan yang diberikan ialah wujudnya 'titah diraja', maka persoalannya mudah. Adakah benar wujud titah sedemikian seperti yang didakwa?
Apa yang diketahui umum ialah dakwaan mengenai kewujudan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani oleh ADUN-ADUN BERSATU dan tiga bekas ADUN PAS bagi menarik balik sokongan kepada Menteri Besar daripada PAS. Sebelum ini terdapat pihak dalam BERSATU yang menafikan kewujudan SD tersebut. Namun pada masa yang sama, Menteri Besar Perlis memberikan kenyataan bahawa hanya Raja Perlis yang mengetahui mengenai kewujudan SD berkenaan.
Kenyataan itu menimbulkan persoalan yang munasabah. Jika SD tersebut tidak wujud, mengapa tidak dinafikan secara terus dan jelas? Mengapa kewujudannya hanya disandarkan kepada pengetahuan Raja Perlis? Tidakkah kenyataan sedemikian membuka ruang kepada kesimpulan bahawa SD itu sememangnya wujud? Bagi pihak PAS, siasatan yang dibuat mengesahkan ia wujud berdasarkan pengakuan tiga bekas ADUN PAS itu sendiri yang disaksikan oleh seluruh Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis.
Persoalan yang lebih besar ialah soal kepercayaan.
Jika sebelum PRU16 pun BERSATU boleh menghantar nama calon Menteri Besar daripada parti itu tanpa sebarang rundingan dengan PAS, apakah jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang selepas pilihan raya akan datang?
Apakah jaminan bahawa mana-mana keputusan berkaitan calon Menteri Besar atau Perdana Menteri tidak akan dibuat secara unilateral tanpa rundingan terlebih dahulu dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional?
Setakat ini saya tidak melihat adanya jaminan sedemikian. Alasan sentiasa boleh dicari kemudian. Yang penting bagi sesetengah pihak ialah mendapatkan kedudukan terlebih dahulu, angkat sumpah dahulu, manakala penjelasan akan menyusul selepas itu.
Isu Negeri Sembilan pula menambahkan lagi tanda tanya tersebut.
Pendirian bersama ADUN-ADUN Perikatan Nasional yang telah dipersetujui secara kolektif boleh berubah hanya melalui keputusan Biro Politik BERSATU tanpa sebarang rundingan dengan PAS atau kepimpinan Perikatan Nasional yang lain.
Alasan bahawa Setiausaha Agung PAS gagal dihubungi adalah penjelasan yang sukar difahami. Apakah keadaan yang begitu mendesak sehingga keputusan yang telah dipersetujui bersama perlu diubah serta-merta? Apakah hambatan yang menyebabkan rundingan tidak boleh dilakukan terlebih dahulu?
Hakikatnya, kedua-dua episod ini telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap tahap kepercayaan antara rakan-rakan dalam Perikatan Nasional.
Hubungan boleh diteruskan. Kerjasama boleh diperkukuhkan semula. Namun kepercayaan adalah perkara yang berbeza.
Trust, once broken, is hard to rebuild.
Sebab itulah saya berpandangan bahawa apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh PAS dalam masa terdekat pasti akan mengambil kira bukan sahaja keadaan semasa, tetapi juga rentetan peristiwa yang telah menghakis kepercayaan yang diberikan selama ini.
Kepercayaan bukan dibina melalui ucapan. Ia dibina melalui tindakan. Dan apabila kepercayaan itu terguris, proses untuk memulihkannya jauh lebih sukar daripada proses untuk merosakkannya.

0 Comments