Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Kedah FA bagi mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/2027.
Pelantikan legenda Hijau Kuning itu bagi menggantikan Victor Andrag yang sebelum ini berjaya membawa Kedah FA menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026.
Pelantikan jurulatih berusia 45 tahun itu diumumkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Abdul Rahman Abdullah dalam sidang media hari ini.
Menurut Abdul Rahman, pemilihan Akmal Rizal dibuat selepas penelitian rapi dilakukan oleh pengurusan KFA bagi memastikan hala tuju pasukan terus berada di landasan yang tepat.
Katanya, KFA yakin pelantikan bekas penolong jurulatih Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) itu mampu menyuntik nafas baharu kepada pasukan selain membantu merealisasikan perancangan jangka pendek dan panjang persatuan.
“KFA percaya pelantikan ini mampu membawa nafas baharu kepada pasukan, di samping membantu merealisasikan perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang telah dirangka oleh persatuan.
“Kepada Akmal Rizal, kami ucapkan selamat kembali ke bumi Darul Aman. Semoga kehadiran beliau bersama KFA akan membuka lembaran baharu dalam usaha membina pasukan yang kompetitif, berdaya saing dan menjadi kebanggaan rakyat Kedah,” katanya.
Beliau turut berharap penyokong Hijau Kuning terus memberikan sokongan padu kepada pasukan dan barisan kejurulatihan dalam menghadapi cabaran musim baharu.
Akmal Rizal bukanlah nama asing dalam arena bola sepak Kedah apabila pernah mencipta kegemilangan bersama skuad Hijau Kuning selain dikenali sebagai antara penyerang terbaik negara pada zamannya.
Kepulangan beliau dalam skuad Hijau Kuning dilihat mampu menghidupkan semula semangat penyokong yang mengharapkan Kedah FA tampil lebih kompetitif dalam misi memburu kejayaan pada musim 2026/2027.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada Victor Andrag atas sumbangan cemerlangnya sepanjang musim lalu dan tidak menolak kemungkinan untuk menjalin kerjasama semula pada masa akan datang.
Di bawah kendalian Victor, Kedah FA menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga keseluruhan dengan mengumpul 57 mata hasil 17 kemenangan, enam seri dan lima kekalahan.

0 Comments