JAMBATAN SALA SIAP LEBIH AWAL, LEGAKAN PENDUDUK KOTA SARANG SEMUT

 

Oleh: Ku Azizah Ku Hamid

KOTA SARANG SEMUT – Projek pembinaan Jambatan Sala bernilai RM15.74 juta berjaya disiapkan sebulan lebih awal daripada jadual asal, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk yang sekian lama menantikan kemudahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato' Mohamad Yusuff @ Munir Zakaria berkata, projek yang dilaksanakan oleh Icaz Ventures Sdn. Bhd. itu siap sepenuhnya pada 16 Mei lalu berbanding tarikh siap kontrak yang ditetapkan pada 16 Jun 2026.

Menurut beliau, pencapaian tersebut amat membanggakan memandangkan projek berkenaan berdepan pelbagai cabaran teknikal sepanjang tempoh pembinaan.

“Antara cabaran yang perlu ditangani termasuk isu pencerobohan tanah dalam kawasan kerja, pengalihan utiliti elektrik, penemuan struktur jambatan lama yang bertindih dengan jajaran baharu serta kekangan ruang kerja yang sempit di kawasan persimpangan sungai dan tali air.

“Namun hasil kerjasama erat antara Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan semua agensi berkaitan, setiap cabaran berjaya diatasi sehingga projek ini dapat disiapkan lebih awal daripada jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Jambatan Sala yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Seri Azman Ibrahim, di sini.

Mohamad Yusuff berkata, kemudahan jambatan ini penting bagi meningkatkan keselamatan dan kelancaran perjalanan harian penduduk sekitar.

"Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan gangguan kepada penduduk setempat, pembinaan jambatan itu dilaksanakan secara berperingkat menerusi dua fasa utama," katanya.

Tambah beliau, kejayaan menyiapkan projek lebih awal membuktikan bahawa perancangan rapi, komitmen tinggi serta kerjasama kukuh antara semua pihak mampu menghasilkan pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Jambatan ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, malah dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat serta memudahkan urusan harian penduduk di kawasan ini,” katanya.

Post a Comment

0 Comments