KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
Oleh: Ustaz Mohd Hafez bin Sabri
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi
Pemuda PAS Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian yang sewajarnya terhadap kes-kes jenayah seksual khususnya melibatkan guru dan anak murid yang berlaku dalam kawasan persekolahan.
Pendedahan demi pendedahan terhadap kes-kes sebegini seharusnya membuka mata ramai pihak terhadap suatu krisis dalaman yang parah yang sedang berlaku melibatkan institusi pendidikan negara.
Pemuda PAS Malaysia berpandangan isu kes jenayah seksual yang berlaku melibatkan guru dan anak murid itu satu isu yang sangat genting. Hal yang demikian ditambah lagi dengan kelemahan pengurusan kes oleh pihak PPD dan sekolah termasuklah tindakan yang tidak wajar diambil seolah-olah dibuat bagi menutup satu-satu kes daripada terdedah ke pengetahuan masyarakat awam.
Kedua-dua perkara ini begitu membimbangkan kita. Adakah tidak ada suatu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas dalam mengurus krisis yang berlaku apatah lagi melibatkan kes jenayah seksual yang parah seperti itu?
Persoalan lain yang memerlukan garisan yang jelas dalam isu sebegini adalah, apakah bentuk mekanisme perlindungan yang tegas terhadap si mangsa yang merupakan murid sekolah itu sendiri sedangkan guru yang merupakan pihak yang tertuduh juga dikatakan masih berada dalam kawasan sekolah?
Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa isu jenayah seksual yang berlaku di sekolah bukanlah isu remeh dan kecil. Institusi pendidikan seharusnya bersih daripada sebarang "kekotoran" luar, bahkan sepatutnya menjadi tempat pembelajaran yang selamat untuk kanak-kanak.
Justeru, Pemuda PAS Malaysia mengulangi gesaan supaya pihak KPM tidak teragak-agak mengambil langkah yang tegas terhadap kes-kes jenayah seksual seperti yang sedang didedahkan kepada awam ketika ini.
Bahkan juga KPM perlu memastikan suatu tindakan yang drastik bagi membendung jenayah yang sama di seluruh institusi pendidikan dalam negara.
Sekian.
#PemudaPAS #TerusMemimpin

0 Comments