MUAFAKAT NASIONAL 2.0 PERLU DISEGERAKAN BERMULA DI PRN JOHOR

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KOTA BHARU - Usaha menjayakan Muafakat Nasional (MN) 2.0 perlu disegerakan dengan menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai titik permulaan ke arah penyatuan semula parti-parti politik Melayu-Islam demi memperkukuh masa depan bangsa dan ummah.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua parti utama khususnya parti-parti Melayu perlu berfikiran terbuka, berlapang dada dan mengenepikan perbezaan demi mencapai matlamat penyatuan yang lebih besar.

Menurut beliau, penyatuan tersebut bukan sahaja mampu mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam, malah berpotensi membentuk kekuatan politik Bumiputera yang lebih menyeluruh melibatkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Sudah sampai masanya gagasan Muafakat Nasional 2.0 dijayakan, bermula dengan mendepani PRN Johor.

“Insya-ALLAH, apabila Melayu-Islam bersatu, kita akan menjadi kuat dan mampu melindungi hak semua pihak. Semua ini hanya dapat dicapai apabila wujud muafakat dan toleransi antara parti-parti politik utama Melayu-Islam di negara ini.

“Ia juga membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam politik Malaysia yang berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, perpecahan parti politik Melayu serta kegagalan menyatukan kekuatan politik orang Melayu termasuk kelompok kecil yang wujud ketika ini telah memberi kesan besar pada hari ini.

“Hal ini seharusnya membuka mata pemimpin utama politik Melayu, khususnya PAS dan UMNO, untuk segera bertindak sebelum ‘nasi menjadi bubur’,” katanya lagi.

Tambah beliau, kekuatan politik Melayu perlu berteraskan Islam sebagai paksi penyatuan ummah bagi memastikan generasi akan datang mewarisi kekuatan akidah, akhlak dan pegangan agama yang kukuh.

“Sejarah membuktikan parti-parti politik Melayu pernah mencapai kesepakatan apabila terbentuknya Barisan Nasional (BN) selepas peristiwa 13 Mei. 

“Muafakat Nasional pula terbentuk susulan kebimbangan terhadap beberapa usaha kerajaan PH (Pakatan Harapan) ketika itu yang dilihat boleh menghakis keamanan dan keharmonian rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu membuka ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan baharu.

“Ini akan disusuli beberapa negeri lain seperti Melaka dan Sarawak yang hampir sampai ke penghujung tempoh masing-masing. Negeri Sembilan juga berkemungkinan menjejaki langkah Johor.

“Perkembangan ini perlu dilihat sebagai peluang untuk mengukuhkan kembali muafakat politik Melayu-Islam,” katanya.

Beliau turut mengingatkan beberapa isu perlu diberi perhatian serius kerana memberi kesan kepada orang Melayu dan umat Islam, antaranya pengiktirafan UEC, bantahan terhadap titah Raja-Raja Melayu, penukaran status tanah di kawasan majoriti bukan Melayu serta usaha mencabar enakmen syariah negeri-negeri, yang dilihat mencabar kedudukan Islam dan kuasa politik Melayu.

“Sesuatu bangsa akan terus teguh selagi akhlak dan pegangan agamanya utuh. Jika tidak, sebaliknya yang akan berlaku,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, Tuan Ibrahim memetik kata-kata penyair Arab terkenal, Ahmad Syauqi Bey sebagai pedoman.

“Sesungguhnya umat itu bergantung pada keutuhan akhlaknya. Apabila akhlaknya hancur, maka hancurlah umat tersebut,” jelas beliau.

Post a Comment

0 Comments