Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Keputusan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengekalkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selagi mereka terus menyokong Kerajaan Negeri dilihat sebagai keputusan yang matang dan bijaksana.
Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, pendirian tersebut membuktikan keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah memastikan kestabilan pentadbiran terus terpelihara meskipun berlaku perubahan hubungan politik di peringkat Pusat.
Menurutnya, Sanusi juga telah menjelaskan bahawa kedudukan EXCO BERSATU tidak menjadi isu selagi mereka kekal menyokong Kerajaan Negeri.
“Kalau tak sokong, EXCO tersebut tentu akan undur. Mudah saja untuk difahami,” katanya.
Menurut Zulkifli, ramai yang mempersoalkan mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang menyokong kerajaan pimpinan Sanusi tidak terus mengumumkan keluar parti susulan perkembangan politik semasa.
Katanya, perkara itu tidak semudah yang disangka kerana Kedah tertakluk pada Enakmen Anti Lompat Parti yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 15 Mac 2023 menerusi pindaan kepada Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (Pindaan) 2023.
“Antara soalan popular, kenapa ADUN Bersatu yang sokong kerajaan pimpinan Sanusi tidak umum keluar saja parti?
“Antara kesan utama enakmen itu ialah ADUN yang keluar daripada parti yang diwakilinya ketika pilihan raya boleh kehilangan kerusi DUN.
“Kerusi tersebut akan dikosongkan dan pilihan raya kecil boleh diadakan. DUN Kedah belum cukup tempoh tiga tahun,” jelas beliau.
Zulkifli berkata, sejak tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, hubungan antara ADUN PAS dan BERSATU berjalan baik tanpa sebarang masalah.
Katanya, semua EXCO daripada PAS, BERSATU dan GERAKAN telah menjalankan tugas dengan cemerlang sekali gus memastikan pentadbiran negeri berada dalam keadaan stabil.
“Semua harmoni, aman, damai. Mereka bekerja dengan cemerlang, kerajaan Kedah kekal stabil,” katanya.
Menurut beliau, ketika ini tempoh pentadbiran Kerajaan hampir tiga tahun.
“Jadi bukanlah masa yang sesuai untuk tukar Exco di tengah atau penghujung jalan, nak meneliti semua potfolio pun memakan masa sebulan dua, buang masa begitu saja,” ujarnya.
Pada ketika ini, komposisi DUN Kedah terdiri daripada 21 ADUN PAS, lapan dari BERSATU, seorang wakil GERAKAN, sementara seorang ADUN BERSATU kini digantung keahlian, manakala dua ADUN Bebas yang dipecat BERSATU sebelum ini menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri selain tiga ADUN pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH).
Zulkifli percaya perubahan politik di peringkat nasional itu kelak akan mempengaruhi keputusan politik wakil rakyat sedia ada.
“Apabila ada satu keputusan di peringkat atasan, lapan ADUN BERSATU tentu sedang memikirkan pendirian politik masing-masing yang wajar diambil. Istikharah, mohon petunjuk ALLAH SWT. Pilih jalan terbaik,” katanya.
KOMPOSISI DUN KEDAH:-
PAS: 21 ADUN
BERSATU: 8 ADUN
GERAKAN: 1 ADUN
BERSATU (keahlian digantung): 1 ADUN
BEBAS (sokong kerajaan): 2 ADUN
PH: 3 ADUN (PKR 2, DAP 1)
Jumlah: 36 ADUN

0 Comments